Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah
Soalan saya ialah mengenai sebidang tanah rumah arwah ayah saya telah diberikan kepada saya 5 tahun yang lepas(2020) dengan syarat saya membayar hutang ayah. selepas hutang dibayar, arwah ayah telah menukar nama kepada nama saya pada geran.
Selepas 5 tahun(2025) ayah saya telah meninggal dunia tanah tersebut kini dituntut supaya di faraid oleh adik saya.
Saya keliru dan adakah betul tindakan adik saya itu.
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan, jika tanah tersebut telah bertukar milik secara rasmi milik tuan, ia tidak lagi dianggap sebagai harta pusaka arwah ayah yang perlu difaraidkan kepada waris yang berhak. Adik tuan tiada hak untuk menuntut tanah tersebut perlu difaraidkan. Yang dimaksudkan tanah bertukar milik secara rasmi ialah sama ada tanah tersebut telah dihibahkan atau diberikan kepada tuan melalui dokumen rasmi yang mengesahkan pertukaran milik dengan nama tuan di geran..
Sebaliknya jika tanah tersebut tiada dokumen rasmi pertukaran milik, maka tanah tersebut masih merupakan harta pusaka arwah ayah yang perlu difaraidkan kepada waris yang berhak dan tindakan adik tuan adalah betul. Adalah sebaiknya tuan merujuk kepada pejabat tanah mengenai status tanah tersebut masih milik arwah ayah atau sudah bertukar nama kepada tuan untuk kepastian dan tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.