BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Jika penjamin tahu adik lelakinya memang telah lakukan mahram sumbang dengan anak kandung nya sendiri, tetapi masih ingin menjamin keluar adik itu dari penjara walaupun mendapat bantahan isteri dan mangsa, adakah perbuatan menjamin itu haram?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

Hukum seseorang menjadi penjamin kepada individu yang dituduh atau didakwa melakukan sesuatu jenayah bergantung kepada tujuan jaminan tersebut serta kesan yang bakal timbul daripadanya. Pada asalnya, menjadi penjamin bukanlah suatu perbuatan yang haram. Hal ini kerana jaminan merupakan suatu mekanisme undang-undang bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan. Ia tidak semestinya bermaksud penjamin meredai atau menyokong jenayah yang dilakukan.

Namun demikian, berdasarkan situasi yang puan kemukakan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama, jika seseorang benar-benar mengetahui bahawa adiknya telah melakukan jenayah sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri, maka dia wajib meyakini bahawa perbuatan tersebut merupakan dosa besar dan jenayah yang amat berat. Islam sama sekali tidak mengharuskan seseorang mempertahankan kemungkaran, menafikan kesalahan yang nyata atau mengabaikan hak mangsa.

Kedua, sekiranya jaminan diberikan semata-mata bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah dan proses keadilan dapat diteruskan mengikut undang-undang, maka perbuatan tersebut pada asalnya tidak dihukumkan haram.

Sebaliknya, jika tujuan jaminan itu adalah untuk membantu pesalah mengelakkan hukuman, melarikan diri, mengganggu atau mengugut mangsa dan saksi, memusnahkan bukti, atau menghalang perjalanan keadilan, maka perbuatan tersebut adalah haram kerana termasuk dalam membantu melakukan dosa dan pencerobohan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma'idah ayat ke 2 :

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan permusuhan.

Dalam kes yang melibatkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak atau jenayah sumbang mahram, aspek keselamatan dan kebajikan mangsa hendaklah diberi keutamaan. Sekiranya terdapat risiko bahawa tertuduh akan mengancam, mempengaruhi, mengganggu atau mengulangi perbuatan tersebut setelah dibebaskan, maka perkara itu hendaklah diambil kira dengan sebaik-baiknya. Jika seseorang mengetahui bahawa tindakannya menjadi penjamin akan mendedahkan mangsa kepada bahaya atau menjejaskan proses keadilan, maka dia tidak sepatutnya membantu ke arah tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 25

message user image