Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh, saya ada soalan yang saya keliru dan tertanya- tanya.
Sebelum ni, saya biasanya datang haid tidak menentu hari. Kadang 10 hari, 12 hari, 14 hari dan 15 hari. Paling sekejap saya kena biasanya 10 hari.Yang saya faham, tempoh maksimum datang bulan ni 15 hari. Tetapi, baru- baru ni saya datang bulan dalam tarikh 18 Jun sehingga 2 Julai iaitu 15 hari.. Kemudian, saya dapati yang ada darah keluar pada 13 Julai, di mana hanya ada gap 10 hari sahaja dari tarikh akhir saya datang haid. Darah yang keluar tu memang warna darah haid dan saya pun ada rasa tidak selesa di perut sama seperti saya rasa waktu datang bulan. Persoalan saya, adakah darah yang datang pada 13 Julai itu dikira darah haid atau darah istihadah? Sama ada perlu saya solat seperti biasa walaupun darah ada? Satu perkara lagi, saya ada bertanya pada ustaz lain bahawa darah yang keluar pada 13 Julai ini darah istihadah dan jika saya masih keluar darah lagi pada hari yang ke 16, barulah dikira darah haid. Adakah itu benar? Harap dapat menjawab pertanyaan saya ni. Terima kasih banyak.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan:
18 Jun hingga 2 Julai (14 hari): Darah keluar. Dihukumkan sebagai darah haid kerana darah yang keluar adalah dalam tempoh maksimum haid (15 hari 15 malam).
3 Julai hingga 12 Julai (10 hari): Tiada darah. Merupakan tempoh suci yang memerlukan kepada menyempurnakan baki suci lagi 5 hari (minimum suci 15 hari).
13 Julai: Darah keluar semula dihukumkan sebagai darah istihadhah kerana ia keluar dalam tempoh suci dan perlu menyempurnakan baki suci 5 hari sebagai syarat minimum suci 15 hari. Jadi, puan perlu solat seperti biasa dan mengikut tatacara orang beristihadhah ketika hendak menunaikan solat.
Jika darah keluar lagi pada hari ke 16 suci, ia dihukumkan sebagai darah haid. Jawapan ustaz tersebut adalah benar, jika darah keluar melebihi tempoh minimum suci, ia dihukumkan sebagai kitaran haid yang baharu.
Sekian, terima kasih.