Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Saya ingin meminta pandangan dari sudut syariah tentang satu urusan jual beli yang melibatkan pertukaran mata wang.
Situasinya begini:
Saya mempunyai sebuah sistem/website yang memaparkan kadar tukaran mata wang asing, contohnya 1 USD bersamaan berapa Ringgit Malaysia.
Masalahnya, kadar tukaran mata wang sentiasa berubah mengikut pasaran. Kadang-kadang perubahan berlaku beberapa kali dalam sehari. Namun, sistem yang saya gunakan hanya mengemas kini kadar tersebut sekali sehari.
Saya sudah berusaha mencari sistem yang boleh memberi kadar secara masa nyata (real-time), tetapi data seperti itu sukar diperoleh dengan tepat dan konsisten.
Jadi timbul persoalan:
Jika berlaku transaksi selepas kadar pasaran telah berubah, adakah saya wajib menggunakan kadar terkini pada saat itu, walaupun perubahan itu berlaku sejam atau beberapa minit sebelumnya?
Atau adakah dibolehkan untuk menggunakan kadar yang telah dikemas kini sekali sehari sahaja, demi memudahkan urusan, selagi kedua-dua pihak mengetahui dan bersetuju dengan kadar tersebut?
Ringkasnya, saya ingin tahu dari sudut hukum:
adakah keutamaan itu pada kadar pasaran semasa, atau pada kadar yang telah dipersetujui dan jelas dalam sistem walaupun ia bukan kadar paling terkini?
Mohon pencerahan ustaz supaya urusan ini lebih jelas dan selari dengan syariah.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara asasnya, urusan pertukaran mata wang asing termasuk dalam kategori bay‘ al-ṣarf (بيع الصرف) iaitu jual beli mata wang yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu menurut syarak.
Dalil utama dalam isu ini ialah sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam; mestilah sama kadar, sama timbangan, dan secara serahan tangan ke tangan. Jika berlainan jenis, maka jual belilah mengikut kehendak kamu, asalkan secara serahan tangan ke tangan. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan prinsip ini, pertukaran antara mata wang yang berlainan adalah harus, dengan syarat utama antaranya:
Berhubung persoalan sama ada wajib menggunakan kadar pasaran semasa secara masa nyata (real-time), menurut syarak pada asasnya tidak mensyaratkan bahawa kadar pertukaran mestilah sentiasa sama dengan kadar pasaran semasa pada detik transaksi berlaku.
Apa yang menjadi keutamaan ialah kejelasan kadar yang ditawarkan dan persetujuan kedua-dua pihak terhadap kadar tersebut ketika akad berlangsung.
Justeru, sekiranya sistem memaparkan kadar tertentu yang dikemas kini secara berkala (contohnya sekali sehari), dan:
Maka transaksi tersebut pada asasnya diharuskan, walaupun kadar pasaran sebenar mungkin telah berubah sedikit pada waktu transaksi dilakukan. Namun demikian, beberapa perkara perlu diberi perhatian:
Pertama, hendaklah dielakkan sebarang bentuk kekeliruan atau gambaran yang boleh mengelirukan pengguna, contohnya mendakwa bahawa kadar tersebut ialah “live market rate” sedangkan ia hanya dikemas kini secara berkala.
Kedua, kadar yang digunakan tidak seharusnya menyimpang secara melampau sehingga boleh menimbulkan unsur penindasan, eksploitasi atau ketidakadilan terhadap pengguna.
Ketiga, syarat paling penting dalam pertukaran mata wang ialah isu taqabudh (serahan). Jika berlaku pembayaran tetapi penyerahan mata wang yang ditukar ditangguhkan tanpa justifikasi syarie yang sah, maka transaksi tersebut boleh menimbulkan isu ketidakpatuhan syariah.
Kesimpulannya, dalam urusan pertukaran mata wang, syarak tidak mewajibkan penggunaan kadar pasaran masa nyata secara mutlak. Yang lebih utama ialah kejelasan kadar yang dipersetujui, ketelusan maklumat kepada pelanggan, serta pematuhan kepada syarat-syarat akad jual beli matawang khususnya isu serahan.
Sekian, terima kasih.