BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya umur 40 tahun memakai implanon baru 10 bulan last period bulan october tahun lepas sekarang saya mengalami ada spot darah di dalam keputihan tapi dia bukan hari2 seminggu kadang 3 kali,jadi saya nak tahu sama ada saya perlu mandi wajib.macam mana solat saya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan yang diajukan, puan mengalami masalah hormon yang tidak stabil setelah memakai Implanon. Berikut adalah ringkasan kenyataan yang diberi:

Tarikh akhir period: Oktober 2025

Keadaan semasa: Terdapat spotting di dalam keputihan

Tempoh maksimum haid adalah 15 hari 15 malam. Manakala tempoh minimum haid adalah sehari semalam (24 jam). Pengiraan tempoh 24 jam itu terbahagi kepada dua keadaan:

1. Darah keluar secara berterusan

Dikira bermula pada waktu darah keluar sehingga cukup sehari semalam (24 jam). Maka ia dihukumkan sebagai haid.

2. Darah yang keluar secara terputus-putus

Hendaklah menggabungkan keseluruhan jam darah yang keluar dalam tempoh 15 hari. Sekiranya cukup 24 jam, maka dihukumkan sebagai haid. Sekiranya kurang daripada 24 jam, maka hukumnya adalah istihadhah.

Menurut situasi yang diceritakan (panggilan telefon), puan berada pada situasi yang kedua di mana darah yang keluar adalah terputus-putus dan hanya boleh dilihat setelah kemaluan dikorek. Oleh itu, puan hendaklah mencatat tempoh masa keadaan darah tersebut kelihatan dan menggabungkan keseluruhan jam darah yang keluar dalam tempoh 15 hari. Barulah hukum darah tersebut boleh ditentukan. Puan hanya perlu mandi wajib sekiranya darah yang keluar adalah haid sahaja. Sekiranya darah tersebut dalam tempoh istihadhah, maka puan perlu membasuh kemaluan dan memperbaharui wudhu’ setiap kali hendak menunaikan solat fardhu.

Untuk pembacaan lanjut, bolehlah melayari https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/35-taudih-al-hukmi-panduan-mengira-tempoh-24-jam/ .

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 15

message user image