Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikumwrmwbt
Pada tahun 2016, perniagaan milikan tunggal saya telah menandatangani satu perjanjian perniagaan dengan sebuah syarikat berhad - perjanjian ini melibatkan design baru dan pembekalan baju uniform secara eksklusif kepada sekolah-sekolah di bawah syarikat tersebut secara eksklusif selama 5 tahun.
Walaubagaimanapun pada awal tahun 2017, pihak syarikat tersebut telah memungkiri perjanjian tersebut dengan memberikan design yang saya buatkan dan kebenaran kepada syarikat lain untuk membekalkan juga uniform yang sama kepada pelajar sekolah mereka. Cubaan saya untuk menyelesaikan isu ini telah dipinggirkan oleh pihak syarikat tersebut dan mereka mencabar saya untuk bawa ke mahkamah. Memandangkan saya telahpun mengeluarkan modal yang besar untuk pelaksanaan projek ini, melibatkan kos ratus ribu, saya tiada pilihan lain selain membawa kes ini ke mahkamah.
Alhamdulillah, Mahkamah Tinggi pada tahun 2020, telah menetapkan bahawa syarikat tersebut telah memungkiri perjanjian perniagaan tersebut dan telah mengeluarkan perintah supaya syarikat tersebut membayar pampasan kepada saya. Dalam perintah mahkamah ini, termasuk gantirugi kehilangan keuntungan dan juga faedah lewat 5% atas jumlah keseluruhan sehingga penyelesaian penuh.
Memandangkan pihak syarikat tersebut tidak mahu mengalah nanti bercadang untuk membawa kes naik ke mahkamah rayuan, dan pada waktu itu, walaupun saya sudah menang kes di mahkamah tinggi, segala simpanan saya telah dihabiskan untuk menanggung kos projek dan kos peguam, malah waktu itu saya dikelilingi hutang akibat kemungkiran yang telah berlaku. Jadi saya cuba sekali lagi untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.
Pada tahun 2021, akhirnya dengan bantuan pihak ketiga, syarikat tersebut akhirnya bersetuju untuk penyelesaian di luar mahkamah dan satu perjanjian penyelesaian telah ditandatangani antara saya dan syarikat tersebut, Namunbegitu, sekali lagi, pihak syarikat telah memungkiri pula terma dalam perjanjian penyelesaian ini. Mengikut terma perjanjian penyelesaian ini, sekiranya mereka memungkiri mana-mana terma yang material, saya dibenarkan untuk melaksanakan perintah mahkamah tinggi yang asal.
Jadi peguam saya telah melaksanakan perintah tersebut. Tetapi pihak syarikat tidak berpuashati dan telah memulakan satu lagi kes saman di mahkamah tinggi di mana mereka mengatakan bahawa saya yang telah memungkiri perjanjian penyelesaian tersebut. Pada masa yang sama, mereka juga memohon pada mahkamah rendah untuk mendeklarasikan saya sebagai bankrupt.
Sepanjang tahun 2022 sehingga 2026, saya telah melalui satu fasa yang sangat sukar di mana saya terpaksa melawan satu syarikat besar yang mempunyai dana yang banyak untuk membayar peguam mereka dan menyerang saya dari pelbagai arah. Sepanjang kes ini sejak tahun 2017, saya juga telah didiagnos dengan depression dan anxiety akibat daripada ditekan dan dibuli oleh pihak syarikat tersebut.
Tapi Allah Maha Mendengar dan Maha Adil. Pada 29/6/2026, dalam kes saman pihak syarikat terhadap saya, hakim mahkamah tinggi telah menetapkan bahawa yang memungkiri perjanjian penyelesaian adalah pihak syarikat, dan bukannya saya. Hakim juga menyatakan bahawa saya layak untuk melaksanakan perintah mahkamah tinggi yang asal.
Sewaktu sesi pendengaran dalam mahkamah, pengarah syarikat tersebut telah menuduh saya tidak mengikut hukum syarak apabila saya melaksanakan perintah mahkamah asal. Beliau mengatakan bahawa gantirugi kehilangan keuntungan dan faedah lewat 5% yang ditetapkan oleh mahkamah adalah tidak mengikut syarak dan haram.
Soalan saya ialah, adakah benar wang pampasan yang ditetapkan oleh hakim mahkamah itu haram?
Sedangkan ianya wang pampasan akibat daripada kesalahan dan kezaliman yang dibuat oleh pihak syarikat sendiri kepada saya, dan telah mengakibatkan saya terpaksa menutup perniagaan saya, kerugian yang besar, hutang keliling pinggang, kos guaman yang tinggi, masalah kesihatan mental yang menyebabkan saya terpaksa makan ubat sehingga sekarang, dan ini semua juga telah memberikan impak yang besar kepada suami dan anak-anak. Malah saya memerlukan wang pampasan itu untuk membayar hutang yang masih tertunggak kepada tukang jahit saya yang dulu.
Adakah faedah lewat bayar 5% yang ditetapkan oleh mahkamah itu dikira sebagai riba'?
Sedangkan ianya bukan mengambil keuntungan daripada pinjaman, tetapi sebagai hukuman kepada pihak syarikat yang sehingga hari ini masih lagi belum dan enggan membuat pembayaran wang pampasan tersebut secara penuh.
Mohon bantuan pihak panel untuk mengkaji isu saya dan memberikan jawapan yang boleh mengambilkira semua yang telah berlaku, termasuk kezaliman dan perangai pembuli pihak syarikat.
Semoga Allah merahmati kalian. Jazakallahu khairan katheera.
Jawapan
Merujuk kepada penjelasan puan, wang pampasan pokok (ganti rugi pelanggaran kontrak, termasuk kehilangan keuntungan yang munasabah dibuktikan di mahkamah) adalah halal untuk puan terima. Ia merupakan hak puan kerana dizalimi dan menurut fiqh ia termasuk pampasan (ta’widh) atas kerosakan dan kerugian sebenar.
Namun, faedah lewat bayar 5% setahun atas jumlah penghakiman dari sudut fiqh mempunyai sifat yang sangat hampir dengan riba kerana ia adalah penambahan ke atas jumlah hutang disebabkan faktor masa kelewatan bayaran yang dilihat mempunyai unsur riba. Oleh itu, bahagian ini tidak wajar dianggap sebagai keuntungan halal untuk peribadi. Sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) bahagian faedah lewat 5% (jika akhirnya tetap dibayar kepada puan dan puan tiada kuasa ubah perintah mahkamah) sebaiknya bahagian ini dipisahkan dan disalurkan kepada baitulmal negeri untuk kegunaan maslahah umum, bukan digunakan untuk manfaat peribadi.
Sekian, terima kasih.