Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Dalam urusan jual beli, sebagai penjual, apa hukum mengubah tarikh luput atas barangan yang dijual?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum mengubah tarikh luput atas barangan yang dijual dengan niat untuk menipu pelanggan adalah haram dan perbuatan itu wajib dijauhi sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA : أن رسول الله ﷺ مر على صبرة طعام فأدخل يده فيها فنالت أصابعه بللا فقال : " ما هذا يا صاحب الطعام ؟ قال : أصابته السماء يا رسول الله . قال : أفلا جعلته فوق الطعام حتى يراه الناس ، من غش فليس مني " Maksudnya : “Bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan yang dijual seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda : “Apakah semua ini wahai pemilik makanan?. Lelaki itu menjawab, “Makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW”. Rasulullah SAW bersabda : “Kenapa kamu tidak jadikan yang basah itu disebelah atas agar manusia dapat melihatnya, barangsiapa yang menipu maka ia bukan dari kalangan umatku”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.