Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya.
Saya ada mengambil beberapa ubat untuk masalah depression, anxiety dan adhd yang diberikan oleh dr psikiatri saya.
Saya ingin mendapatkan pandangan hukum berkaitan penggunaan ubat yang mengandungi laktosa (pharmaceutical lactose).
Setakat yang saya faham, laktosa diekstrak daripada whey susu. Namun, saya difahamkan sebahagian whey ini mungkin berasal daripada proses pembuatan keju yang menggunakan rennet haiwan, manakala sebahagian lagi tidak menggunakan rennet atau menggunakan rennet mikrob.
Ada juga proses penghasilan ini tidak menggunakan rennet
Soalan saya:
1. Apakah hukum menggunakan ubat yang mengandungi laktosa apabila sumber whey dan jenis rennet yang digunakan tidak diketahui?
2. Adakah pengguna perlu menyemak sama ada rennet tersebut berasal daripada haiwan yang halal disembelih, atau hukum asal laktosa farmaseutikal adalah harus digunakan selagi tiada bukti jelas ia berasal daripada sumber yang haram?
3. Adakah proses penghasilan laktosa memberikan kesan terhadap hukum (istihalah atau istihlak), sekiranya whey tersebut asalnya daripada pembuatan keju menggunakan rennet haiwan?
Saya ada tanya kepada pembuat ubat mengenai unsur haiwan didalam ubat, dan mereka hanya menjawab mempunyai lactose daripada lembu tanpa memberitahu unsur rennet
Bolehkah saya berlapang dada kerana telah bertanya unsur ubat?
Terima kasih atas penjelasan.
Jawapan
Secara asasnya, ubat yang dipreskripsikan oleh pakar psikiatri yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya ubat yang telah mendapat kelulusan KKM, telah melalui proses penilaian dan kawalan yang mengambil kira aspek keselamatan, kualiti serta pematuhan terhadap garis panduan yang diiktiraf syarak, sebagaimana yang digariskan dalam Garis Panduan Bersama Kawalan Ubat-ubat dalam Islam yang diterbitkan oleh JAKIM. Jadi, harus menggunakan ubat tersebut khususnya ia digunakan untuk masalah kesihatan tuan yang memerlukan penggunaan ubat tersebut.
Sehubungan itu, tuan tidak dituntut untuk menyiasat dengan lebih lanjut berhubung sumber setiap ramuan atau bahan pemprosesan ubat tersebut, melainkan terdapat bukti yang jelas bahawa sesuatu bahan itu berasal daripada sumber yang diharamkan oleh syarak.
Maklumat lanjut mengenai ubat-ubat yang diiktiraf syarak boleh dibaca dalam Garis Panduan Bersama Kawalan Ubat-ubat dalam Islam, JAKIM.
https://www.islam.gov.my/en/guideline/462-garis-panduan-bersama-kawalan-ubat-ubat-dalam-islam
Sekian, terima kasih.