Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustazah dan ustaz, saya ada beberapa soalan berkenaan kebersihan.
1) Lantai kat rumah saya terkena darah yang banyak dan saya bersihkan menggunakan tisu basah dahulu kemudian saya melalukan air mutlak ke atasnya, dan saya lap guna tisu kering tetapi masih ada basah sikit kat lantai. Lantai tu dah suci ke?
2) Lantai kat rumah saya terkena air mazi dan saya bersihkan sama macam saya bersihkan darah cuma mazi ni saya tak lap je. Lantai suci ke?
Soalan saya lantai yang terkena najis tu dah suci ke? Dan wajib ke lap air mutlak yang dilalukan tu? Dan air mutlak tu boleh ke kalau saya sembur je? Terima kasih bagi penjelasan
Jawapan
Kaedah mensucikan najis mutawassitah, seperti tahi, darah, kencing manusia, adalah dengan membersihkan atau membuang ain najis tersebut terlebih dahulu kemudian mengalirkan air mutlak di kawasan yang terkena najis sehingga hilang bau, warna dan rasanya.
Pertama sekali, jika terdapat ain najis seperti tahi, air kencing atau darah, ia hendaklah dibuang atau dihilangkan terlebih dahulu. Tisu basah (wet tissue) boleh digunakan untuk menghilangkan ain najis tersebut. Selepas itu, tempat yang terkena najis hendaklah dialirkan dengan air mutlak sehingga hilang tiga sifat najis, iaitu bau, rasa dan warna. Selain itu, saudari boleh gunakan produk pembersih sebagai tambahan membersihkan kawasan yang terkena najis. Hal ini bukan sahaja mewujudkan persekitaran yang lebih baik, malah secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada dihantui perasaan was-was dalam urusan bersuci.
Merujuk soalan yang diajukan, lap kawasan yang terkena najis bukan termasuk syarat yang menyucikannya. Jika air mutlak yang dialirkan telah menghilangkan 3 sifat najis tersebut, maka ia telah suci.
Sekian, terima kasih.