Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1.saya nak tnya Ada kah air percikan basuhan Ayam atau Ikan najis... Ada lah kita perlu tukar pakai an untuk solat sekiranya kena air percikan itu...
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, dalam mazhab Syafi‘i, air percikan daripada basuhan ayam atau ikan pada asalnya tidak dikira najis kerana daging ayam dan ikan yang halal dimakan adalah suci. Oleh itu, jika air basuhan tersebut terpercik pada pakaian, pakaian itu kekal suci dan boleh digunakan untuk solat tanpa perlu ditukar, selagi tidak diketahui atau diyakini bahawa air tersebut telah bercampur dengan najis seperti darah yang mengalir, tahi ayam atau najis lain.
Statusnya hanya berubah menjadi najis sekiranya air tersebut jelas berubah sifatnya, sama ada dari segi warna yang merah pekat berdarah, bau hanyir darah yang sangat kuat, atau rasa yang menunjukkan ia adalah darah yang mengalir. Kesimpulannya, air percikan basuhan ayam atau ikan tidak dianggap najis melainkan sekiranya percikan itu diyakini meninggalkan kesan najis yang jelas seperti darah dan tahi binatang.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.