Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Tuan, Saya ada kemusykilan. Sebuah NGO iaitu Rotary Club telah menjalankan Program MyKasih. Dalam program ini mereka menyalurkan sumbangan berjumlah RM80- RM100 sebulan kepada murid dalam Kad Debit. Murid boleh mengguna kad ini membeli makanan di kantin sekolah. Soalan saya, bolehkah pelajar beragama Islam menerima sumbangan daripada NGO yang dalam pengetahuan saya dianjurkan badan Kristian khususnya untuk membeli makanan. Mohon penjelasan tuan berhubung dengan isu ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya benar NGO yang bernama Rotary Club adalah pertubuhan yang membantu mana-mana badan kristian, maka sumbangan yang diberikan oleh NGO ini secara terus kepada pelajar Islam melalui kad debit adalah haram diterima dan digunakan, kerana dibimbangi sumbangan tersebut termasuk dalam cabang gerakan kristianisasi yang bermula dengan program kebajikan dan kemasyarakatan, tambahan pula ia adalah hasil judi. Akan tetapi, jika sumbangan tersebut diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah atau Jabatan Pelajaran terlebih dahulu, dan wang tersebut menjadi hak milik sekolah dan bercampur dengan wang halal yang lain, maka HARUS bagi pihak sekolah untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada pelajar, kerana sumbangan yang diterima oleh pelajar adalah sumbangan dari pihak sekolah dan bukannya dari pihak NGO berkenaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.