BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berhubung penggunaan syampu pewarna rambut organik di mana pengeluar produk menyatakan projek syampu tersebut halal dan boleh di bawa solat. Jadi, saya ingin cuba guna syampu ini untuk menutup uban yang tumbuh di kepala. Persoalannya, saya masih ragu-ragu untuk guna sebab takut tidak sah solat saya selepas pakai produk ini. Pengeluar produk ada menyatakan bahawa warna hitam pada rambut akan kekal 2-3 minggu sahaja sebab produk produk ini pakai bahan organik seperti kacang walnut dan inai untuk fungsi hitamkan rambut. Jadi, adakah saya boleh yakin dengan kenyataan ini dan cuba pakai syampu tersebut atau macam mana. Saya sangat bimbang dengan pemakaian pewarna rambut atau inai sebab sekarang banyak produk yang maklum hala dan boleh bawa solat tetapi hakikatnya tidak. Saya bimbang wudhu dan solat saya tidak sah disebabkan pakai syampu pewarna ini. Mohon bantu beri pencerahan berhubung perkara ini. Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Soalan yang diajukan terdapat dua isu yang perlu diteliti. Isu pertama adalah berkenaan mewarnakan rambut dengan warna hitam. Isu kedua adalah berkenaan waswas terhadap sesuatu produk.

Isu pertama, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah haram. Namun, bagi wanita yang sudah berkahwin, ia dibolehkan jika mendapat izin suami dan bertujuan untuk berhias bagi suaminya.

Isu kedua, jika berasa waswas terhadap suatu produk sama ada halal atau tidak, maka ia dikategorikan sebagai syubhah. Oleh itu, perkara syubhah hendaklah dijauhkan dan dielakkan. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA, sabda Nabi SAW:

إِنَّ ‌الْحَلَالَ ‌بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan yang haram itu juga jelas. Di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhah (yang samar), yang tidak diketahui hukumnya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara-perkara syubhah, dia telah memelihara agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara-perkara syubhah, dia akan terjatuh ke dalam perkara yang haram. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 29

message user image