Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz saya menghadapi was-was yang teruk mengenai najis anjing.
1. Pada beberapa 20 tahun yang lalu sepupu saya memegang satu bola basah yang dituduh oleh sepupu saya yang lain bahawa bola tersebut pernah digigit anjing walhal saya tidak pernah melihatnya. Adakah tangan saya najis sekiranya saya bersalaman dengan dia dengan tangan yang basah? Saya tidak pasti dia sertu atau tidak tangan dia kerana kami masih kecil masa tu umur lingkungan 12 tahun.
2. Saya bekerja sebagai seorang doktor, ada seorang pesakit cina digigit oleh anjing di kawasan mulut, kami sedang bersihkan kawasan luka tersebut menggunakan gauze yang basah tetapi gauze tersebut terkena dicop saya. Saya pada masa tersebut agak kurang ilmu (perkara ini berlaku pada 2 tahun lepas). Saya tidak menyertu cop saya kerana beranggapan tidak membawanya ke solat. Tetapi ada beberapa kali saya teringat saya menggunakan cop dalam keadaan tangan basah dan najis tersebut telah berpindah ke semua tempat kerana saya memegang ketika tangan basah.
Oleh hal yang demikian, saya berasa susah solat dan rasa bersalah dengan rakan kerja saya yang telah menyentuh paip di sinki dan lain-lain yang telah saya sentuh dengan tangan yang basah. Saya penat perlu sertu tangan saya setiap kali terpegang sinki atau tersentuh tangan kawan kerja dalam keadaan basah kerana saya nampak mereka menggunakan sinki tersebut. Bantu saya ustaz, saya baru sahaja sertu cop saya itu. Bolehkah saya bertaqliq dengan mazhad hanafi bahawa najis anjing tidak najis tapi saya solat, wudhuk dan lain-lain ikut mazhab syafie?
Maaf atas soalan yang panjang ini. Harap ustaz boleh bantu saya. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Perlu difahami bahawa sesuatu benda dihukumkan bernajis hanya berdasarkan perkara yang yakin, bukan sangkaan, keraguan atau tuduhan. Tuduhan tersebut tidak kukuh untuk dijadikan asas bahawa bola tersebut pernah digigit anjing atau tidak. Justeru, bola tersebut tetap dihukumkan suci dan tuan tidak perlu khuatir lagi tentang tangan sama ada bernajis ataupun tidak. Tambahan pula, perkara ini telah berlaku sekian lamanya dan tidak ada keperluan untuk mengingat semula.
Tidak wajar untuk mengatakan bahawa air daripada gauze yang masih basah dan digunakan untuk mencuci luka akibat gigitan anjing yang terkena pada cop atau barang-barang di sekitarnya menyebabkan barang-barang tersebut turut menjadi najis. Hal ini kerana, gauze tersebut sememangnya berada dalam keadaan basah, namun tidak dapat dipastikan bahawa terdapat perpindahan ain najis daripadanya. Yakinlah bahawa dalam situasi ini tidak dihukum berlaku perpindahan najis kerana tidak jelas wujudnya ain najis yang berpindah. Justeru, cop, paip sinki dan barang-barang lain yang disentuh dengan tangan yang basah adalah dihukum suci dan tidak perlu disertu. Sesuatu hanya perlu disertu apabila terdapat keyakinan yang jelas tentang kewujudan dan perpindahan ain najis seperti yakin dan dapat dilihat dengan jelas adanya air liur anjing. Oleh itu, tidak ada keperluan untuk bertalfiq atau beralih kepada pandangan mazhab yang lain.
Sekian, terima kasih.