Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT. Saya ada beberapa persoalan:-
1.Apakah hukum membuat model 3D
makhluk hidup seperti manusia atau binatang dalam komputer. Adakah ia sama dengan larangan melukis atau membuat patung makhluk hiduo?
2.Adakah dibenarkan membuat model 3D wanita/lelaki yang tidak menutup aurat untuk tujuan animasi atau permainan?
3.Jika model 3D itu berbentuk low poly tanpa detail (contoh: rambut hanya bongkah, wajah tidak realistik, tubuh badan kekurangan sifat seperti ketiadaan mulut etc), adakah hukumnya sama seperti model realistik yang diatas?
Terima Kasih
Jawapan
Hukum asal permasalahan ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang melukis atau mengukir gambar sesungguhnya Allah akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan ruh ke dalam gambar tersebut dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya. (Riwayat al-Bukhari)
Larangan yang disebutkan oleh Nabi saw adalah menjurus kepada pembuatan patung yang mempunyai jisim dan berbayang serta menyerupai makhluk yang bernyawa di mana ianya dijadikan sebagai sembahan. Ianya juga dikiaskan kepada lukisan-lukisan yang dilakar makhluk yang bernyawa kerana ianya juga menjadi satu penyembahan sepertimana yang berlaku kepada umat kristian yang melakar gambar Nabi Isa dan para hawariyyun yang mana mereka mempercayai itulah gambaran Nabi Isa dan para hawariyyun Baginda.
Kesemua larangan ini adalah berbentuk sad al-Zari’ah (menutup pintu kerosakan) kerana ditakuti menjadi objek penyembahan yang boleh merosakkan akidah.
Adapun jika lukisan itu bertujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ seperti digunakan untuk tujuan pembelajaran, pendidikan atau dakwah maka ianya dibenarkan.
Memetik pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengatakan:
“Hukum melukis sesuatu yang bernyawa seperti manusia dan haiwan menjadi khilaf dikalangan para ulama. Jumhur mengatakan bahawa ianya haram dan sebahagian para ulama’ mengatakan ianya dibolehkan. Apa pun, penggunaan lukisan dalam media massa dengan tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam yang diharamkan bahkan sesuatu yang dituntut oleh syara’ sekiranya menjadi medium yang amat penting dalam menyampaikan dakwah dan ilmu yang bermanfaat kepada manusia dan ini tidaklah menjadi gambar yang haram padanya sepertimana gambar-gambar yang mengangkat sesuatu yang tidak bermoral, kezaliman dan gambar-gambar yang tidak senonoh.”
Persoalan 1 : diharuskan sekiranya tujuannya adalah untuk pendidikan, kefahaman dan bukan tujuan sembahan ritual syirik.
Persoalan 2 : model 3D yang boleh menjurus kepada kemaksiatan, tidak bermoral dan tidak senonoh dengan terdedahnya bentuk-bentuk tidak menutup aurat, maka adalah haram dan sebaiknya dielakkan.
Persoalan 3 : diharuskan kerana ia tidak melengkapi sesebuah wujud yang bernyawa dan konsepnya sama sebagaimana persoalan pertama.
Sekian, terima kasih