BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Tuan/Puan,

Saya ingin membuat pertanyaan status mengenai solat jamak & qasar serta watan asli & watan iqamah.

Saya berasal daripada melaka dan berhijrah bekerja dan menetap selama 14 tahun di rumah sewa di puchong.

Setiap minggu iaitu sabtu dan ahad saya akan pulang menziarahi ayah & ibu saya di melaka.Rumah di melaka adalah rumah kepunyaan ayah & ibu saya.Saya tidak mempunyai rumah sendiri di melaka.

Saya ingin bertanya status saya ini sama ada boleh jamak dan qasar di melaka sbb ada perbezaan mengenai watan asli @watan iqamah?

Mohon pencerahan mengenai persoalan di atas.

Terima Kasih Atas Kerjasama.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Watan (Negeri Yang Dihuni) dibahagikan oleh para fuqaha’ kepada tiga seperti mana yang termaktub di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah adalah seperti berikut:

1. Watan Asli: Tempat yang dihuni oleh seseorang bersama ahli keluarganya; sama ada tempat kelahirannya atau negeri lain, dia jadikan tempat itu sebagai tempat untuk membina rumah dan menetap di sana bersama isteri dan anak-anaknya, dan tidak ada niat untuk berpindah daripadanya, bahkan berniat untuk tinggal hidup di sana selama yang boleh. Termasuklah kampung halaman isteri.

2. Watan Iqamah: Sebuah tempat yang dihuni oleh seseorang melebihi tempoh had musafir kemudian dia berniat untuk bermusafir lagi selepas itu.

3. Watan Sukna: Sebuah tempat yang dihuni oleh seseorang kurang daripada tempoh had musafir.

Merujuk soalan yang diajukan, jika saudari berpindah ke tempat baharu secara sementara iaitu di Puchong dan merancang akan kembali pulang dan bermastautin semula di kampung halaman iaitu di Melaka mka apabila saudari tiba di kampung halaman maka tidak layak untuk menjamak atau mengqasar solat di kampung halaman walaupun menetap di sana dalam tempoh kurang daripada 4 hari kerana itu adalah watan asli saudari manakala rumah sewa di Puchong Selangor pula dianggap watan iqamah (tempat bermukim). Saudari wajib melakukan solat secara tamam (sempurna rakaatnya) di kedua-dua tempat. Namun, saudari dibolehkan solat secara jamak qasar sepanjang perjalanan permusafiran.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 11

message user image