Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Dato Mufti,
1. Soalan saya saya ada kencing tak lawas tapi boleh berhenti selepas 40 minit dan boleh solat selaps itu dan kalau contoh saya bangun lambat untuk sembahyang dan adawaktu sikit sahaja dan saya perlu pergi ke tandas dan selepas pergi tandas boleh kah saya letak lapisan dan solat sebab waktu solat dah nak habis ?
2. Kalau saya bangun lambat dan perlu mandi wajib dan solat macam mana kalau saya lambat bangun dan waktu solat dah nak habis ? Macam mana nak mandi wajib dan saya jugak ada kencing tak lawas dan kena tumggu 40 minit selepas itu baru boleh solat. Dan kalau saya mandi bukanakan najis itu akan sebar sebab ada titisan lening saya ? Mohon pencerahan dan solusi daripada Dato Mufti terima kasih
3. Saya ada baju yang kena najis dan lalu saya letak dalam mesin basuh automatic letak sabun dan lalu ia cuci . Adkaha kaedah ini i boleh guna untuk sucikan pakaina dan bawa untuk solat pakaina itu selaps cuci dengan cara ini ?
4. Kalau syaa mandi wajib ada ada air baldi untuk yang guna untuk istinja lalu semamsa mandi wajib air kena badan saya percik ke baldi itu dan juga pada baju saya gantung di tandas adkaha ia kira najis? Boleh kah air yang kena baldi itu guna untuk bersihkan najis atau masa istinja ?
5. Semasa basuh baju yang ada najis saya letak baldi bawah baju yang saya basuh dan saya lalukan air pada baju tersebut dan air yang dah basuh baju itu jatuh ke baldi syaa latak bawah itu adkaha air yang basuh baju najis itu najis? Dan air yang jatuh pada baldi bawah tu najis ? Atau saya tak perlu letak baldi dan basuh sahaja walupun air basuhan ia jatuh ke lantai ? Sebab saya ada dengar air basuhan najis ada yang suci saya kurang jelas mohon pernjelasan daripada Dato Mufti.
6. Semasa basuh baju yang najsi atau semasa lalu kan air pada baju ada najis ada air terpercik dari baju tersebut kepada saya adakah saya kena basuh semua angota yang kena air yang terpercik itu ?
7. Semasa sujud ada 7 anggota yang kena sentuh di lantai dan adakah dahi sahaja kena pada lantai tanpa ada kain yang halang dahi contoh baju kita atau rambut kita ? Dan semasa sujud jari kaki saya sujud di atas kain belikat atau macam mana Dato Mufti ?
8. Dan apakah dosa kalau kita lambatakab solat fardhu walaupun takde apa2 kerja
9. Saya susha nak bangun untuk tahajud dan saya minta petua ,amalan, doa Dari dato Mufti supaya saya boleh tahajud
10. Syaa ada bijak taik anjing dan dia macam kering dan basah saya tak pasti dan lalu saya cek selipar saya dan bau tapi takde apa- apa bau yang busuk sebab saya ada bijak adakah saya kena sertu selipar itu ?
11. Isteri saya kalau lepas ambik wudhu dia selau berasa nak buang angin dn kadang susha nak tahan dan bolehkan dia solat walaupun dia biarkan buang angin dna solat ? Dan apakah solusi juga untuk orang yang sellau buang angin memang susha nak tahan ? Dan dia bermazhab hanafi
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Tatacara wuduk dan solat bagi orang yang mempunyai masalah kencing tak lawas adalah seperti tatacara bersuci dan solat bagi golongan yang mengalami keuzuran berterusan (da'im al-hadath) seperti berikut:
a) Memastikan masuk waktu solat
b) Menyucikan, menyumbat serta membalut tempat keluar najis sekadar termampu
c) Segera berwuduk
d) Segera menunaikan solat
e) Satu wuduk hanya dibolehkan untuk satu solat fardu sahaja dan beberapa solat sunat yang lain
Solat bagi orang yang mempunyai penyakit kencing tak lawas adalah sah dan tidak perlu mengulanginya sekalipun dia masih berhadas ketika berwuduk dan menunaikan solat. Justeru, tuan tidak perlu menunggu sehingga kencing tidak lawas berhenti dan berdasarkan cara yang tuan lakukan, ia telahpun menepati tatacara wuduk dan solat bagi orang yang mempunyai masalah kencing tidak lawas.
2. Jika tuan lambat bangun, hendaklah segera mandi wajib, membersihkan najis, berwuduk dan menunaikan solat seperti biasa. Sekiranya waktu tidak mencukupi sehingga solat fardu terlepas, maka solat tersebut hendaklah diqada'. Adapun titisan air ketika mandi tidak menyebabkan najis tersebar selagi tidak diyakini terdapat perpindahan ain najis. Oleh itu, tidak perlu melayan perasaan was was mengenai perkara tersebut.
3. Ya, pakaian yang ada najis dan dicampur untuk dibasuh bersama pakaian kotor yang lain di dalam mesin basuh automatik dihukumkan suci jika ain najis pada pakaian yang terkena najis itu tadi telah hilang. Jika tidak hilang, memadai cuci pakaian yang ada kesan najis itu tadi sahaja. Sebaiknya disarankan pakaian yang terkena najis dihilangkan najisnya terlebih dahulu sebelum dicampur dan dibasuh bersama pakaian kotor yang lain. Pakaian-pakaian yang telah dibasuh tersebut adalah suci dan boleh dibawa untuk solat.
4. Perlu difahami bahawa kita dituntut untuk menyucikan sesuatu apabila yakin dan jelas terdapat ain najis padanya. Jika kewujudan ain najis tidak dapat dipastikan, maka hukum kembali kepada hukum asal iaitu suci. Justeru, air dari badan yang terpercik ke baldi dan baju adalah suci dan bukan najis kerana tiada bukti wujud ain najis. Adapun air yang termasuk dan telah bercampur di dalam baldi adalah air musta’mal. Ia adalah suci tetapi tidak lagi boleh menyucikan. Justeru, ia tidak boleh digunakan untuk membersihkan najis atau beristinjak. Disarankan untuk tutup baldi tersebut bagi mengelakkan air luar masuk dan boleh digunakan untuk bersuci.
5. Air basuhan daripada pakaian yang terkena najis serta air yang terkumpul di dalam baldi di bawahnya dihukumkan sebagai najis selagi najis pada pakaian tersebut belum hilang. Oleh itu, meletakkan baldi di bawah atau membiarkan air basuhan mengalir terus ke lantai tidak menjadi masalah. Namun, selepas menghilangkan 'ain najis pada pakaian, perlu dilalukan air mutlak sehingga pakaian menjadi suci. Cara yang lebih sesuai ialah menggosok bahagian pakaian yang terkena najis terlebih dahulu bagi menghilangkan 'ain najis, kemudian bilas dengan air mutlak sehingga bersih.
6. Jika tuan yakin bahawa air yang terpercik adalah air paip yang disiram pada pakaian maka tidak perlu basuh anggota badan yang terkena. Jika yakin air yang terpercik adalah dari tempat yang bernajis maka perlu basuh anggota badan yang terkena. Memadai mengalirkan air mutlak sahaja.
7. Di dalam kitab Fiqh Manhaji, terdapat 7 syarat sah bagi sujud ;
a) Hendaklah ia sujud diatas tujuh anggota;
i. Dahi
ii. Dua tapak tangan
iii. Dua lutut
iv. Dua hujung jari kaki
b) Hendaklah dahinya terbuka
c) Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud
d) Tidak ada niat lain selain sujud
e) Tidak sujud di atas barang yang bergerak dengan pergerakannya
e) Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala
f) Thama'ninah
Justeru, ketujuh-tujuh anggota sujud perlu kena pada lantai tanpa ada kain yang menghalang dahi seperti baju atau rambut. Ibu jari kaki juga perlu kena pada sejadah dan tidak boleh berlapik dengan kain pelikat.
8. Melambatkan solat fardu dengan sengaja tanpa mempunyai urusan yang menghalang solat segera ditunaikan adalah berdosa.
9. Antara amalan yang dapat membantu untuk mudah bangun menunaikan solat tahajud ialah memasang niat serta tidur lebih awal. Dengan usaha ini, badan akan menjadi lebih segar dan bersedia untuk bangun beribadah pada waktu malam. Jika masih sukar untuk bangun, ambillah ikhtiar seperti memasang penggera (alarm) atau meminta ahli keluarga atau rakan mengejutkan tuan/puan pada peringkat permulaan. Apabila tubuh sudah mula membiasakan diri, insha-Allah ia akan menjadi lebih mudah. Berdoalah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan dan istiqamah dalam melaksanakan tahajud. Mulakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat. Amalan yang sedikit tetapi dilakukan secara berterusan lebih baik dan lebih dicintai Allah SWT daripada amalan yang banyak tetapi tidak berkekalan.
10. Pada asasnya, selipar yang dipakai untuk kegunaan harian di luar rumah dan terpijak najis anjing tidak dituntut untuk disertu kerana tidak dibawa ke dalam solat. Ini kerana ini termasuk perkara umum balwa (keadaan apabila sesuatu kesukaran atau masalah berlaku secara meluas dan sukar dielakkan oleh kebanyakan orang). Air hujan dan keadaan cuaca di luar akan kelamaan hilangkan sifat najis yang melekat tersebut.
11. Perlu difahami bahawa salah satu perkara yang membatalkan wuduk ialah keluarnya angin dari kemaluan. Justeru, seseorang tidak boleh meneruskan solat sekiranya dia telah buang angin. Dia hendaklah mengambil wuduk semula sebelum meneruskan solat. Bagi mereka yang mengalami masalah kerap buang angin sehingga sukar dikawal, hendaklah mengikuti tatacara bersuci dan solat bagi golongan yang mengalami keuzuran berterusan (da'im al-hadath), sebagaimana juga tatacara bagi mereka yang mengalami masalah kencing tidak lawas.
Sekian, terima kasih.