Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Adakah wap daripada najis dikira najis? Jika bau melekat pada pakaian sahkah solat?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan,
1. Asap yang terhasil daripada pembakaran najis adalah dimaafkan sekiranya ia sedikit atau tidak meninggal kesan kepada pakaian. Sekiranya kesan asap daripada pembakaran najis memberi kesan kepada pakaian sehingga ternampak warna asap pada pakaiannya maka ia dianggap sebagai najis dan dituntut untuk menghilangkannya. Oleh itu, jika terdapat debu-debu hasil daripada pembakaran daging babi atau apa apa najis selainnya dan mengenai pakaian, maka pakaian tersebut perlu di sertu.
2. Sekiranya tidak dapat dipastikan debu asap tersebut mengenai pada pakaian atau sebaliknya, maka pakaian tersebut adalah kekal suci dan bersih daripada najis. Oleh itu, jika pakaian tersebut dibasuh dalam mesin basuh bersama pakaian lain, maka ia tidak mengakibatkan pakaian dan juga barangan yang bersentuhan dengannya menjadi najis dan tidak perlu di sertu. Perpindahan najis juga tidak berlaku dan pakaian boleh terus dibawa solat.
Sekian, terima kasih.