Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Boleh teruskan puasa atau tidak jika kita sudah niat sebelum subuh tetapi baru mandi wajib(haid) pukul 10 pagi. Dan masa kita niat kita yakin bahawa tiada lagi darah yang keluar dari faraj wanita.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, puasa tersebut boleh diteruskan kerana yakin dirinya telah suci sebelum fajar. Adapun lebih afdhal menyegerakan mandi wajib bagi membolehkan melaksanakan kewajipan solat (solat subuh). Sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada Fatimah binti Abi Hubaish R.ha, sabdanya : فإذا أقبلت الحيضة فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم وصلي Maksudnya : “Apabila datang haid maka tinggalkanlah solat dan apabila ia berhenti maka mandilah untuk membersihkan dirimu daripada darah dan dirikanlah solat” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.