BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya pergi umrah pada bulan Disember 2025. Setelah pulang umrah mula timbul perasaan was-was.

Semasa umrah ke2, saya naik budgy untuk tawaf dan saie. Sebelum tawaf, saya ambil wudhu di kawasan sekitar situ menggunakan botol spray. Disebabkan tiada tempat sesuai, suami saya cover saya untuk berwudhu berdekatan dinding menggunakan kain ihram. Persoalan timbul bila saya mula ragu-ragu dengan wudhu saya ketika itu. Ketika itu penglihatan saya agak terhad dan staff di situ mendesak kami untuk cepat. Semasa spray air di bahagian tangan, saya musykil adakah lengan baju saya menyerap air tersebut sebelum saya menyapu ke seluruh bahagian tangan dan jari. 

Adakah wudhu saya sah? Atau perlu ke saya membayar dam?

Macam mana nak hilangkan perasaan was-was sebab dah mula ganggu kehidupan harian saya.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Perasaan was-was yang  puan alami adalah sesuatu yang biasa berlaku, terutamanya selepas melakukan ibadah yang besar seperti umrah. Dalam Islam, perasaan was-was (keraguan) yang berlebihan dikenali sebagai waswasah dan ia datang daripada syaitan untuk mengganggu ketenangan ibadah seseorang.

Majoriti ulama berpendapat bahawa wuduk adalah syarat sah untuk tawaf. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa tawaf di sekitar Kaabah adalah seperti solat, kecuali dibenarkan bercakap di dalamnya. Oleh itu, syarat-syarat solat, termasuk wuduk, juga terpakai untuk tawaf.

Merujuk kepada persoalan tersebut puan tersebut, kaedah fiqh menyebut:

"اليقين لا يزول بالشك"

Maksud: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak”
Berdasarkan kaedah ini, keyakinan puan pada waktu tersebut bahawa wuduk tersebut telah sempurna dan sah, maka dengan keyakinan ini ianya tidak boleh dibatalkan dengan keraguan yang datang pada kemudian hari.

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 yang bersidang pada 28 November 2016 menyatakan bahawa amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu.

Kesimpulannya, wuduk puan pada ketika itu adalah sah dan tidak perlu membayar dam. Berdasarkan prinsip fiqh, wuduk puan adalah sah kerana keraguan timbul selepas selesai ibadah.keraguan yang timbul selepas perbuatan tidak perlu dilayan. Untuk menghilangkan perasaan was-was, abaikan keraguan tersebut, berpegang pada keyakinan asal, perbanyakkan zikir, dan cuba gembira dengan ibadah yang telah anda tunaikan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image