BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya ingin bertanya tentang status keislaman saya.

Saya masih percaya kepada Allah, Rasulullah, dan rukun-rukun Islam. Saya juga masih mengaku diri sebagai seorang Muslim. Namun, dalam tempoh ini saya sangat jarang solat (kadang-kadang tertinggal banyak solat) dan jarang membaca Al-Quran. Saya sedang melalui tempoh kesedihan yang mendalam selepas kematian ayah saya, dan ini menjejaskan amalan saya.

Walaupun begitu, saya masih cuba melakukan perkara baik seperti bersedekah, membantu orang lain, dan ingin melibatkan diri dalam kerja-kerja kemanusiaan. Saya juga merasa bersalah kerana dahulu pernah berbohong kepada ayah saya tentang solat.

Soalan saya:

Adakah saya masih dikira sebagai seorang Muslim walaupun solat saya sangat lemah dan jarang membaca Al-Quran?

Apakah nasihat yang sesuai untuk saya supaya dapat memperbaiki solat dan hubungan dengan Allah dalam keadaan saya sekarang?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

Wassalam.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Solat adalah ketetapan daripada Allah SWT yang wajib ditunaikan ke atas setiap muslim yang baligh, berakal dan suci. Sesiapa yang mengingkari kewajipan solat adalah kafir murtad kerana kewajipannya telah ditetapkan dengan dalil-dalil qat'i  dari Al-Quran, Sunnah dan ijmak. Namun sesiapa yang meninggalkannya kerana malas dan lalai, boleh menjerumuskan dirinya  kepada fasik melainkan jika dia baru memeluk Islam atau tidak mengetahui hukum kewajipan solat. Meninggalkan solat boleh menyebabkan kita diazab di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman:

يا عِبادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً

Maksudnya: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa

(Surah al-Zumar: 53)

Ayat ini menunjukkan bahawa pintu taubat sentiasa terbuka selagi mana seseorang itu hidup dan diberikan hidayah untuk bertaubat. Tuan masih dikira sebagai seorang muslim walaupun solat tuan berpretasi lemah dan jarang membaca al-Quran. Sentiasa beramal dengan amalan soleh dan panjatkan doa kepada Allah SWT

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَىٰ ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperelok ibadah kepada-Mu

Akhir sekali, jangan biarkan syaitan menjadikan kelemahan tuan sebagai alasan untuk berputus asa. Seseorang yang masih berasa bersalah apabila meninggalkan solat dan masih ingin kembali kepada Allah menunjukkan bahawa hatinya masih hidup. Jadikan rasa penyesalan itu sebagai permulaan kepada taubat, bukan sebagai sebab untuk menjauhkan diri daripada rahmat Allah.  Memperkukuh hubungan dengan Allah SWT bukanlah proses sekejap atau mudah. Ia memerlukan konsistensi, kesedaran dan usaha berterusan iaitulah istiqamah. Semoga kita semua terus istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 8

message user image