Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, apakah hukumnya menggunakan kalkulator yang direka khas untuk pengiraan pointer cgpa keputusan peperiksaan? Contohnya macam saya fikir kalau katakan saya dapat gred A untuk subjek sekian², pointer keseluruhan akan jadi begini² mengikut apa yang telah dikira menggunakan kalkulator tersebut. Adakah ia turut dikira meramal yang diharamkan dalam Islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, soalan ini menyentuh tentang alat bantu pengiraan akademik dan kaitannya dengan hukum meramal dalam Islam. Agama Islam melarang perbuatan ramalan perkara ghaib seperti tenung nasib, masa depan, jodoh, rezeki atau keputusan peperiksaan yang belum berlaku tanpa asas ilmu. Allah berfirman di dalam Surah An-Naml ayat 65
Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).
Kalkulator pointer CGPA hanya alat matematik yang mengira berdasarkan formula rasmi universiti.
Gred subjek × kredit jam = mata gred.
Jumlah mata gred ÷ jumlah kredit jam = CGPA.
Ia bukan ramalan ghaib tetapi sekadar simulasi pengiraan berdasarkan data yang dimasukkan. Harus kerana ia sama seperti menggunakan kalkulator biasa untuk tambah, tolak, darab, bahagi. Ia bukan meramal nasib, tetapi mengira kemungkinan pointer berdasarkan gred yang diperoleh atau dijangka. Jika gred sebenar keluar, kalkulator hanya membantu menyusun angka dengan cepat.
Menggunakan kalkulator khas untuk pengiraan pointer CGPA adalah harus dan tidak termasuk dalam ramalan yang diharamkan. Ia sekadar alat matematik untuk memudahkan pengiraan, bukan meramal perkara ghaib.
Sekian, terima kasih.