Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya disahkan menghidapi penyakit OCD oleh doktor. OCD saya membabitkan hal-hal berkaitan ibadah. Seringkali untuk masalah waswas OCD ibadah, dinyatakan keperluan untuk mendalami ilmu berkaitan ibadah. Namun permasalahan yang saya alami belum satu pun yang saya ketemu jawapannya.
Saya seringkali sukar untuk niat melakukan solat. Sudah saya gunakan pendapat mazhab syafie dalam iaitu niat dalam takbir dan mazhab lain iaitu niat sebelum takbir namun masih lagi sukar. Saya gunakan lafaz atau keperluan niat paling ringkas iaitu Aku Solat Fardhu .... Masalah yang akan timbul adalah niat itu dipersoalkan sebagai tidak sah kerana tidak dibuat kerana Allah. Kalau qadha solat, akan dipersoalkan kenapa tidak disertakan waktu qadha solat yang mana yang dilakukan. Disebabkan OCD saya maka hal ini akan ditekan-tekan lagi sehingga saya berhenti.
Pada ketika saya berjaya niat, masalah lain timbul. Jika saya solat sendirian atas sebab tertentu, saya kadang-kadang jadi terlupa sedang solat apa mungkin kerana saya sedang fokus memerhatikan bacaan fatihah saya. Saya mencari di serata internet jawapan kepada masalah ini tapi rata-rata merujuk kepada lupa bilangan rakaat. Adakah solat saya itu batal kerana saya terlupa solat apa atau bagaimana?
Satu lagi, sekiranya saya merasakan saya ada melakukan kesalahan dalam solat seperti sujud dengan tidak menekan perut ibu jari kaki, atau terlintas fikiran-fikiran jahat, atau tomakninah saya tidak mencukupi, atau apa-apa kesalahan yang saya syak lakukan, apakah yang patut saya lakukan? Kerana semua ini akan menekan-nekan diri saya untuk memberhentikan solat. Tekanan ini sangat kuat untuk saya endahkan begitu sahaja.
Mohon doakan saya segera sembuh dari penyakit ini. Saya tidak mahu jadi gila disebabkan kesukaran untuk solat. Lebih parah, saya tak mahu disebabkan keadaan saya akan jadi fitnah kepada agama.
Jawapan
Mudah-mudahan Allah mengurniakan kesembuhan daripada penyakit tersebut. Merujuk kepada soalan yang diajukan: Nabi SAW bersabda:
Maksud: “Sekiranya sesiapa di kalangan kalian berasa syak semasa solatnya dan tidak mengetahui bilangan rakaat yang telah didirikan sama ada tiga atau empat, maka hendaklah dia membuang syak tersebut dan berpegang kepada apa yang diyakininya” (Hadis riwayat Muslim)
Antara faedah yang dapat diambil daripada hadis tersebut adalah untuk tidak terlalu terikut-ikut dengan keraguan semasa melakukan solat. Sebaliknya, apabila sedang mengerjakan ibadah tersebut, kita hendaklah yakin akan keabsahan solat tersebut melainkan ada bukti-bukti menunjukkan bahawa ianya telah batal.
Sebagai contoh dalam isu melibatkan waswas berkaitan niat solat. Al-Suyuti dalam Al-Asybah wa al-Nazair menulis:
Maksud: “Niat tempatnya di hati pada setiap keadaan kerana hakikat niat adalah kehendak melakukan ibadah secara mutlak”
Justeru, tidak disyaratkan untuk melafazkan niat dengan ayat-ayat atau frasa tertentu kerana apabila seseorang berwudhu’ dan kemudiannya ingin mendirikan solat fardhu, itu sudah dikira sebagai niat. Hal ini tentu akan membantu dalam memudahkan perlaksanaan ibadah solat terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit tertentu seperti OCD.
Sekian, terima kasih.