BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya tentang hubungan antara takdir, ajal dan bunuh diri.

Setahu saya, ajal setiap manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT. Jika seseorang membunuh diri, adakah kematian itu juga telah ditakdirkan oleh Allah SWT, atau adakah dia sebenarnya “mempercepatkan” ajalnya melalui pilihan sendiri?

Setahu saya juga cara kematian seseorang juga telah ditetapkan oleh Allah SWT tetapi boleh berubah dengan berdoa.

Saya keliru kerana bunuh diri adalah pilihan manusia dan pada masa yang sama semua perkara berlaku dengan izin dan pengetahuan Allah SWT.

Mohon penjelasan dari yang arif. Maafkan saya andai tersalah

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Perbincangan berkenaan takdir, ajal, qada' dan qadar adalah perbincangan yang serius dan memerlukan kefahaman yang mendalam. Perlu diketahui, bahawa setiap sesuatu yang berlaku adalah atas kehendak (iradah) dan ilmu Allah SWT. Iaitu Allah SWT telah tahu, berkehendak dan berkuasa menentukan semua perkara termasuk hidup dan ajal seseorang.

Seorang yang bunuh diri juga adalah atas ketentuan dan kehendak Allah SWT. Walaupun begitu, perlu difahami bahawa bunuh diri juga adalah atas ikhtiar atau pilihan yang Allah SWT telah berikan pada setiap hamba. Secara kefahaman yang mudah, Allah SWT telah memberikan pilihan kepada setiap hamba-Nya. Setiap pilihan itu telah ditetapkan oleh Allah SWT atas kehendak-Nya dan Allah SWT telah tahu setiap pilihan yang telah diberikan. Iaitu Allah SWT berkehendak untuk memberikan pilihan kepada hamba-hamba-Nya. Cuma pilihan dan kesan daripada pilihan tersebut adalah rahsia pada sisi hamba. Iaitu kita tidak tahu apa yang akan jadi setelah kita melakukan sesuatu. Oleh sebab itu, kita dituntut untuk memilih sesuatu yang baik dan diredai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ‎

Maksudnya:  Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

 

Firman Allah SWT dalam Suran al-An'am ayat 125:

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهْدِيَهُۥ يَشْرَحْ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَٰمِ ۖ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُۥ يَجْعَلْ صَدْرَهُۥ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ ۚ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 33

message user image