BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam ustaz, saya nak tanya, saya macam waswas seumur hidup saya pernah pegang kasut kulit anjing/babi atau tidak. Dulu masa kecil, pernah viral tentang kasut kulit anjing/babi itu, tapi saya tak pasti sama ada saya pernah menyentuhnya dikedai atau tidak.

Saya waswas kerana ketidak pastian itu. Dan rasa gusar, sama ada kena samak ke tangan saya ni? Dan macam mana dengan segala ibadat saya telah lakukan selama ini? Boleh ke kalau saya abaikan ke syak dan waswas itu, tidak samak dan teruskan ibadah harian seperti biasa? Macam mana kalau sebenarnya saya pernah pegang tapi terlupa ke... tapi ni semua syak. Macam mana ya ustaz?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Merujuk kepada persoalan tuan, Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika menyentuh najis itu sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

 الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: "Asal bagi sesuatu adalah kekal atas apa yang ia sedia ada, sehingga dibuktikan dengan yakin akan perubahannya."

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan,

Tangan tuan masih dihukumkan suci dan tidak wajib disertu kerana tidak dapat dipastikan dengan yakin bahawa tuan benar-benar telah menyentuh kasut yang diperbuat daripada kulit babi atau anjing tersebut. Asal hukum sesuatu adalah kekal seperti keadaannya sehingga terbukti sebaliknya dengan yakin. Sekalipun tuan masih berasa was-was, disarankan agar mengambil pendekatan bahawa sentuhan tersebut berlaku dalam keadaan tangan kering. Hal ini kerana, jika terpegang suatu yang najis seperti kasut yang diperbuat dari kulit babi dan tangannya kering maka tidaklah ternajis tangannya yakni tidak wajib atasnya membasuhnya dengan air tanah sebagaimana diwajibkan ketika membasuh suatu yang ternajis dengan najis anjing dan babi.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 1

message user image