BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz.

Saya baru pulang dari Makkah.

Saya tahu sebelum pulang ke tanah air kita kena pastikan tiada terbawa pulang batu atau pasir dari Tanah Haram.

Namun begitu, sebelum pulang dari Makkah ke Malaysia, saya ada isi air paip di dalam botol kecil untuk digunakan untuk berwuduk. Saya betul betul tidak terlintas di fikiran sama ada air, yakni air paip termasuk sekali dalam hukum batu/pasir tersebut.

Sesampainya di Malaysia, baru saya terfikir pasal hal ini. Jadi kemusykilan saya, adakah air paip ini saya perlu kirim pulang ke Tanah Haram semula ataupun sebenarnya tidak mengapa?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

السلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tersebut: ulama Mazhab Syafi’i seperti Taqiyuddin al-Hisni dalam Kifayah al-Akhyar menulis:

"يحرم نقل تُرَاب الْحرم وأحجاره إِلَى الْحل"

Maksud: “Diharamkan memindahkan tanah dan batu-batuan daripada Tanah Haram ke luar

Walaubagaimanapun, terdapat juga ulama dalam Mazhab Syafii seperti Al-Rafi’i yang merupakan imam dalam mazhab menulis dalam Fath al-‘Aziz berpendapat bahawa ianya adalah makruh :

"يكره نقل تراب الحرم وأحجاره إلى سائر البقاع، والبرام يجلب من حد الحل، ولا يكره نقل ماء زمزم، كانت عائشة رضي الله عنها تنقله، وقد روي أن النبي ﷺ استهداه من سهيل بن عمرو عام الحديبية"

Maksud: “Dimakruhkan untuk memindahkan tanah dan batu-batuan Tanah Haram ke tempat lain, adapun batu baram hendaklah dibawa dari luar Tanah Haram, dan diharuskan untuk membawa keluar air Zamzam kerana ‘Aisyah RA ada melakukannya, diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW ada meminta ia sebagai hadiah kepada Baginda daripada Suhail bin ‘Amr pada tahun Hudaibiyyah”.

Berdasarkan dua pendapat dalam Mazhab Syafii tersebut sama ada haram atau makruh tersebut hanya memfokuskan kepada tanah dan batu-batuan. Adapun air tidak termasuk dalam kategori terbabit. Bahkan Nabi SAW dan ‘Aisyah RA sendiri ada membawa keluar air Zamzam dari Tanah Haram.

Kesimpulannya, air tersebut tidak perlu dihantar pulang ke Tanah Haram kerana perbuatan tersebut tiada larangannya dalam Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 1

message user image