Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Pertanyaan sekiranya air yang telah didoakan atau dibacakan dengan ayat ratib al-attas dan asma allah al-husna apa bila air bacaan nak habis bolah lah di tambah dengan air lagi.
Terima Kasih.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang diberikan, tiada masalah untuk menambah air baharu ke dalam air yang telah dibacakan doa atau diruqyahkan. Hadis yang diriwayatkan daripada Talq bin Ali RA katanya:
Maksudnya: Kami keluar satu rombongan bertemu Nabi ﷺ lalu kami membaiah Baginda dan solat bersama Baginda. Kami juga memberitahu Baginda bahawa di tempat kami ada tempat ibadah (gereja mereka pada zaman jahiliah) lalu kami meminta kepada Baginda agar memberikan kepada kami sisa wuduknya. Lantas Baginda meminta (dibawa datang) air lalu Baginda berwuduk dengannya. Baginda berkumur-kumur dan kemudian mengeluarkannya ke dalam bekas kecil yang diperbuat daripada kulit. Baginda memerintahkan kepada kami dan berkata: Pulanglah kalian dan apabila sampai di tempat kalian maka musnahkan/robohkan gereja kalian, renjiskan air ini di tempat tersebut dan jadikan tempat tersebut masjid. Saya berkata: Sesungguhnya tempat kami jauh, sedangkan cuaca sangat panas dan air akan menjadi kering. Baginda menjawab: Tambahkan sahaja sisa wuduk dan kumuhan yang saya berikan tadi ke dalam air itu kerana ia tidak akan menambahkannya melainkan kebaikan (keberkatan). Kami pun bergerak pulang dan apabila sampai di tempat kami, kami musnahkan/robohkan tempat ibadat kami dan kami renjiskan air di tempat tersebut lalu kami jadikan ia masjid di mana kami memanggil (orang datang) ke sana dengan mengumandangkan azan. Talq berkata: Pendeta tempat ibadah itu adalah seorang lelaki dari Taiyyi’. Apabila dia mendengar azan maka dia berkata: Panggilan kebenaran. Dia kemudian pergi ke sebuah lereng (di tempat) kami dan kami tidak lagi melihatnya selepas itu. (Riwayat al-Nasa'i dan Ibn Hibban)
Sekian, terima kasih.