Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Tempat kerja saya jauh dari rumah kediaman dengan jarak hampir 250km sehala. Saya menggunakan kereta api komuter sebagai medium pengangkutan ke tempat kerja. Untuk itu, saya sentiasa berada di dalam kereta api apabila tiba waktu subuh. Sekiranya saya masih mempunyai wuduk, saya boleh solat di dalam kereta api. Bagaimana sekiranya wuduk saya telah pun terbatal sebelum masuk waktu? Saya faham akan keperluan untuk membawa water spray untuk tujuan mengambil wuduk cuma kadang-kadang terdapat kekangan seperti keadaan kereta api yang terlalu padat dengan penumpang menyebabkan pergerakan agak terbatas. Adakah boleh untuk solat di dalam kereta api tanpa wuduk atau adakah cara lain untuk solat di dalam kenderaan tanpa wuduk? Terima kasih atas nasihat dan pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, jika wuduk terbatal dan benar-benar tidak dapat berwuduk atau bertayamum sehingga dikhuatiri waktu solat berakhir, maka tunaikanlah solat fardu mengikut kemampuan dan solat tersebut diniatkan sebagai menghormati waktu. Namun, solat tersebut perlu diulang jika masih dalam waktu atau secara qada’ jika waktunya telah berakhir.
Sekian, terima kasih. I