Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bolehkah seorang muslim itu mengkhianati negaranya sendiri kerana Islam?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, setiap orang yang beriman itu dituntut untuk mencontohi sifat-sifat yang terpuji. Ini kerana, agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak. Disebabkan itu, antara sebab Nabi SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Dalam Islam, khianat merupakan satu dari tanda-tanda orang munafik dan perbuatan yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ajaran Nabi SAW. Sebagaimana firman Allah SWT : يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَٰنَٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (al-Anfaal : 27) Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dan berakhlaklah dengan akhlak Islam walau di mana pun kita berada. Jangan dilupa bahawa setiap gerak geri kita ada saksi yang sedang memerhatikan dan yakinlah bahawa kelak semua perbuatan kita akan dihisab oleh Allah SWT. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.