BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya ingin memohon penjelasan daripada pihak tuan/puan berhubung satu situasi yang berlaku di tempat kerja saya.Untuk makluman pihak tuan/puan, syarikat tempat saya bekerja dimiliki oleh majikan bukan Islam, manakala pihak pengurusan termasuk pengurus adalah beragama Islam. Sebelum ini, cadangan untuk membina tokong di kawasan kilang telah ditolak beberapa kali. Walau bagaimanapun, susulan satu kejadian kemalangan maut baru-baru ini, pihak atasan telah ingin membuat pembinaan tokong anggaran (8x8 kaki) tersebut di dalam kawasan kilang.

Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan hukum bagi perkara-perkara berikut:

i) Apakah hukum bagi seorang pengurus Muslim yang diarahkan untuk menguruskan pembinaan tokong tersebut secara tidak langsung melalui kontraktor bukan Islam, termasuk keperluan untuk menandatangani dokumen berkaitan seperti invois pembinaan, pembayaran dan seumpama dengannya?

ii) Sekiranya pengurus Muslim menyerahkan sepenuhnya urusan pembinaan tokong kepada pihak atasan (bukan Islam), tetapi masih perlu menandatangani dokumen berkaitan seperti invois dan purchase order, apakah hukum tindakan tersebut menurut syarak? 

iii) Sekiranya urusan pembinaan tokong diserahkan sepenuhnya kepada pihak atasan, dan pihak atasan memilih lokasi pembinaan secara rawak, apakah hukum sekiranya pengurus Muslim memberikan cadangan untuk menukar lokasi pembinaan ke kawasan yang lebih sesuai bagi mengelakkan tokong dibina di kawasan yang tidak sesuai contohnya di dalam pejabat atau kurang daripada 30 kaki dari hadapan pejabat? Jadi boleh ke jika pengurus Muslim tersebut memberi cadangan kawasan tokong tersebut dibina. Adakah tindakan ini dianggap sebagai turut menyertai atau termasuk dalam pembinaan tokong tersebut menurut syarak minta pencerahan dan pandangan serta cadangan?

iv) Selain itu, saya juga ingin mendapatkan penjelasan berkaitan situasi sekiranya tokong tersebut dibina sangat hampir dengan kawasan laluan dan kawasan bekerja kami yang majoriti muslim sehingga dapat dilihat setiap hari oleh pekerja Muslim. Apakah hukum bagi keadaan tersebut menurut syarak?

v) Sekiranya tokong tersebut siap dibina, pihak syarikat biasanya akan mengadakan majlis/kenduri kilang beserta sembahyang Dato Kong. Walaupun tempat makan bagi majlis tersebut diasingkan, serta makanan yang disediakan untuk kenduri adalah halal, ianya diadakan pada hari yang sama tertera di atas kad jemputan. Apakah hukum bagi pekerja Muslim untuk menghadiri dan menikmati makanan dalam majlis tersebut menurut syarak? Adakah dibenarkan atau sebaliknya? Mohon pencerahan pihak Mufti memberikan jawapan, penjelasan, dan cadangan supaya tindakan kami sebagai pekerja Muslim selaras dengan tuntutan agama.

vi) Bagaimana pula pada kerani yang membuat jemputan tersebut. Kerani yang membuat kad jemputan majlis sembahyang Dato Kong tersebut? Mohon pencerahan pihak Mufti memberikan jawapan, penjelasan, dan cadangan supaya tindakan kami sebagai pekerja Muslim selaras dengan tuntutan agama.

vii) Setelah tokong tersebut siap dibina dan memerlukan pembersihan secara berterusan, sekiranya pengurus Muslim mengarahkan pekerja bukan Muslim untuk menjalankan kerja pembersihan di kawasan tokong, adakah tindakan tersebut dibolehkan menurut syarak dan apakah hukumnya? Selain itu, sekiranya pihak atasan mengarahkan pengurus untuk mengatur kerja pembersihan tokong tersebut, apakah hukum bagi pengurus tersebut? Bagaimana pula hukumnya sekiranya pengurus menyampaikan arahan melalui kerani kepada pekerja bukan Muslim untuk melaksanakan kerja pembersihan di kawasan tokong tersebut? Saya memohon penjelasan serta cadangan daripada pihak tuan/puan mengenai tindakan yang sewajarnya diambil agar semua urusan ini dapat dilaksanakan selaras dengan tuntutan syariah.

Saya amat berharap pihak tuan/puan dapat memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci beserta cadangan yang bersesuaian agar kami sebagai pekerja Muslim dapat mengambil tindakan yang selaras dengan tuntutan syarak. Sehubungan itu, saya juga memohon agar penjelasan tersebut disertakan dengan dalil daripada Al-Quran, hadis, serta rujukan daripada kitab-kitab muktabar dan pandangan ulama, khususnya pihak berautoriti di Malaysia, sebagai panduan kepada kami.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarakn soalan-soalan yang diutarakan, terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian. Pertama berkenaan dengan hukum keterlibatan dalam pengurusan pembinaan tokong. Kedua, hukum bagi orang Islam yang lalu berdekatan dengan tokong. Ketiga, hukum keterlibatan dalam majlis atau kenduri Dato Kong.

Berkenaan dengan isu pertama, orang Islam dilarang sama sekali untuk terlibat dalam apa-apa bentuk pembinaan tempat ibadat agama lain sama ada menguruskan, menandatangani, membina dan sebagainya. Hal ini kerana perbuatan ini dikira membantu perkara maksiat. Imam Ibn Hajar al-Haytami menjelaskan dalam Tuhfah al-Muhtaj:

ونمنعهم وجوبا (‌إحداث ‌كنيسة) ، وبيعة، وصومعة للتعبد، ولو مع غيره كنزول المارة

Maksudnya: Dan kami mewajibkan untuk menghalang mereka daripada mendirikan gereja, biara dan tempat pertapaan , walaupun bersama tujuan lain seperti menempatkan para musafir.

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menjelaskan:

لا يجوز للمسلم تصميم أو بناء ‌معابد ‌الكفار أو الإسهام في ذلك مالياً أو فعلياً

Tidak diharuskan bagi seorang Muslim untuk mereka bentuk atau membina rumah-rumah ibadat orang kafir, atau turut serta dalam hal tersebut sama ada dari segi kewangan mahupun secara langsung.

Berkenaan isu kedua pula, diharuskan bagi orang Islam untuk lalu di kawasan atau laluan yang terdapat tempat ibadat agama lain. Walaupun begitu, umat Islam dilarang masuk atau berada di tempat ibadat agama lain kerana terdapat alatan sembahan atau patung-patung berhala. Dijelaskan dalam Mughni al-Muhtaj:

لا يجوز للمسلم ‌دخول كنائس أهل الذمة إلا بإذنهم؛ لأنهم يكرهون دخولهم إليها، ومقتضى ذلك الجواز بالإذن وهو محمول على ما إذا لم تكن فيها صورة. فإن كان وهي لا تنفك عن ذلك حرم

Maksudnya:  Tidak diharuskan bagi seorang Muslim memasuki gereja-gereja zimmi kecuali dengan izin mereka kerana mereka tidak suka orang lain masuk ke dalamnya. Maka berdasarkan itu, diharuskan masuk dengan izin, namun ia difahami dalam keadaan tiada gambar (patung/lukisan) di dalamnya. Jika terdapat gambar sedangkan kebiasaannya ia tidak terlepas daripadanya maka hukumnya haram. 

Isu ketiga pula, haram hukumnya terlibat atau turut serta dalam apa-apa bentuk sekalipun ke dalam majlis atau sambutan atau perayaan yang melibatkan agama dan upacara sembahan. Oleh itu, umat Islam dilarang untuk turut serta dan membantu majlis upacara Dato Kong.

Kesimpulannya, umat Islam dilarang untuk terlibat dalam membantu atau membina rumah ibadat agama lain. Begitu juga dilarang untuk turut menyertai sebarang perayaan bukan beragama Islam yang melibatkan upacara dan sambutan agama.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                                                                  


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 33

message user image