Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya sering tidak dapat atau menangguhkan melakukan solat sunat dhuha dan tahajjud kerana bimbang dikatakan riak oleh kawan sebilik. Bagaimana saya hendak mengatasinya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, setiap perbuatan dan amalan yang saudari lakukan adalah berbalik kepada niat dihati. Tidaklah dinamakan riak disebabkan bimbang dengan kawan sebilik. Bahkan ia boleh mendorongnya untuk melakukan kebaikan dan amalan yang bermanfaat. Perasaan-perasaan yang negatif dalam hati seperti syak, bimbang dan was-was adalah bisikan dan gangguan syaitan yang ingin menyesatkan umat manusia. Firman Allah SWT: وَاِمَّا يَنۡزَغَـنَّكَ مِنَ الشَّيۡطٰنِ نَزۡغٌ فَاسۡتَعِذۡ بِاللّٰهِؕ اِنَّهٗ سَمِيۡعٌ عَلِيۡمٌ Maksudnya : “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-A’raf : 200) Uruslah (didik) niat saudari secara istiqamah, yakin dan ikhlas kerana Allah SWT dan teruskan lakukan ibadat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.