Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Tuan Mufti.
Saya ingin memohon pencerahan mengenai hukum menyertai sebuah program sukarelawan yang mempunyai pelbagai manfaat seperti pembangunan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Namun dalam program tersebut terdapat satu slot aktiviti kebudayaan yang melibatkan tarian tradisional di atas pentas dan ditontoni ramai peserta lain. Semua peserta wajib menyertai tarian tersebut. Tarian tersebut tidak melibatkan sentuhan fizikal antara lelaki dan perempuan, tidak bersifat romantik serta setiap peserta masih menjaga batas dan jarak. Tarian lebih kepada tarian adat dan kebudayaan sebagai sebahagian daripada pengisian program.
Soalan saya,
1. apa hukum menyertai program tersebut?
2. Sekiranya saya seorang pelajar di IPTA/IPTS salah kah saya tidak mengikut program tersebut namun program ini mempunyai markah dalam penilaian.
3. Bagaimana pula jika peserta tidak berniat melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak, tetapi penyertaan dalam slot tersebut diwajibkan oleh pihak penganjur?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, program yang melibatkan tarian adat dan kebudayaan adalah diharuskan sekiranya tidak mengandungi unsur yang bercanggah dengan syarak seperti ritual, pemujaan, pendedahan aurat, pergaulan bebas, gerakan yang melampau atau perkara yang melalaikan. Justeru:
Menyertai program sukarelawan yang memberi manfaat seperti pembangunan kemahiran komunikasi dan kepimpinan adalah harus, selagi pengisian program tidak mengandungi perkara yang dilarang oleh syarak.
Jika program tersebut merupakan sebahagian daripada penilaian di IPTA/IPTS dan aktiviti yang dijalankan tidak bercanggah dengan syarak, maka adalah baik untuk turut serta agar tidak menjejaskan keputusan akhir.
Jika sejak awal diketahui bahawa program tersebut mengandungi aktiviti yang jelas bertentangan dengan syarak, hendaklah memaklumkan kepada pihak penganjur dan memohon pengecualian atau menarik diri daripada aktiviti tersebut.
Sekian, terima kasih.