Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, buat panel yang sayang hormati dan sanjungi, saya ada satu soalan.
1. Jika saya ditakdirkan mendapat tawaran bekerja namun perlu dikemukakan borang pemeriksaan kesihatan selepas berjaya dalam urusan temuduga, sebelum ini di pelbagai tempat kerja sememangnya saya ada menyatakan saya menghidapi penyakit OCD (Obssesive Compulsive Disorder) namun tidak menghalang saya untuk bekerja kerana penyakit saya lebih kepada was-was dalam kebersihan, dalam urusan-urusan seperti mengunci rumah, start kereta/motor dan lain-lain yang tidak menganggu orang lain. Jika menganggu, mustahil saya mampu bekerja sehingga kini bertahun-tahun. Jadi untuk jawatan baru yang jika saya ditakdirkan dapat ini , berkemungkinan jika saya menyatakan sakit saya, peluang untuk diambil bekerja adalah akan dipertimbangkan, jadi ada nasihat dari pihak perubatan yang menyatakan tak perlu saya declare kerana sakit saya bukan bersifat wild namun mild. Jadi apakah hukumnya jika saya tidak menyatakan/declare sakit saya tersebut? Adakah dibenarkan, atau saya perlu juga menyatakan dan bertawakkal agar saya dapat diberikan juga jawatan tersebut.
Jawapan
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh 'Amru bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)
Sekiranya tuntutan kerja baharu memerlukan tahap kesihatan yang baik dan jika didapati menipu atau berhelah keadaan sebenar dan menyebabkan kerugian kepada syarikat, maka adalah sewajarnya untuk menyatakan keadaan kesihatan tersebut.
Namun, sebaliknya maka dengan perakuan daripada Pegawai Perubatan yang menyatakan keadaan kesihatan masih boleh dikawal, tidak memberi kesan kepada prestasi dan membawa mudarat, maka tiada masalah untuk tidak menyatakan tahap kesihatan tersebut.
Sekian, terima kasih