Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Persoalan bacaan tarhim sebelum azan subuh telah lama saya ingin kemukan namun seringkali tertunda kerana tidak yakin ianya akan di rungkaikan dengan adil dan jujur. Memandangkan kami bermastautin di Damansara Utama iaitu kawasan perumahan yang majoritinya non muslim, sensitiviti sesuatu kaum merupakan isu yang amat perlu di beri perhatian. Untuk makluman, saya mencadangkan dibuat kaji selidik untuk mengetahui setakat mana non muslim ini merasa terganggu dengan bacaan tarhim yang seringkali di alunkan dengan suara yang agak kuat di waktu awal pagi. Kerana mereka juga ada anak kecil, orang tua yang sakit, dan yang bekerja malam pulang untuk tidur dan lain-lain.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, memang amalan bertarhim tidak ada asasnya. Bagaimanapun, ia boleh diamalkan, ia dikira mempunyai maslahat. Dari segi maksudnya, ia berselawat memohon rahmat. Dari segi fungsinya, mengingatkan orang ramai bahawa waktu solat sudah hampir (biasanya solat Subuh dan solat Jumaat). Bagaimanapun, sebaiknya pendek sahaja dan tidak perlu diulang-ulang, lebih-lebih lagi dikawasan-kawasan tertentu yang penghuninya ramai bukan Islam. Sebenarnya tidak semua bukan Islam merasa marah. Mereka yang faham boleh menerima dengan baik, kerana ia dapat mengingatkan mereka tentang waktu. Tidak dinafikan mungkin sesetengah tempat ia dianggap sebagai gangguan kerana terlalu kuat dan panjang (lama). Ini boleh diberi teguran khusus secara berhemah. Berhubung dengan kajian, ia suatu cadangan yang baik untuk diberi pertimbangan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.