BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin mendapatkan penjelasan berkenaan hukum bermain permainan video yang mengandungi unsur ritual atau penyembahan kepada watak yang digambarkan sebagai dewa.

Sebagai contoh, terdapat permainan video yang mempunyai watak-watak yang digambarkan sebagai dewa. Dalam permainan tersebut, pemain perlu mengawal watak utama dan melakukan suatu ritual terhadap watak tersebut sebagai sebahagian daripada jalan cerita atau mekanik permainan.

Dalam keadaan saya, saya mengetahui bahawa watak dan dewa tersebut hanyalah fiksyen dan saya tidak mempercayai kewujudan mereka sebagai Tuhan atau mempunyai niat untuk menyembah atau mengagungkan mereka. Saya hanya melakukan arahan tersebut dalam permainan untuk meneruskan jalan cerita atau permainan. Saya baru tahu main video game tersebut terjerumus dalam kategori haram. Namun saya tak jumpa kata putus sama ada bermain permainan tersebut menjadi kafir atau pon tidak.

Soalan saya:

1. Adakah perbuatan mengawal watak dalam permainan untuk melakukan ritual penyembahan kepada dewa fiksyen dikira sebagai melakukan perbuatan kufur atau syirik?

2. Sekiranya seseorang tidak mempunyai iktikad bahawa dewa tersebut ialah Tuhan dan tidak berniat menyembahnya, adakah perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang menjadi murtad atau terbatal imannya?

3. Adakah terdapat perbezaan hukum antara melakukan ritual tersebut secara nyata di dunia dan dunia fiksyen?

Saya ingin mendapatkan pandangan pihak berautoriti supaya saya tidak membuat kesimpulan sendiri mengenai status akidah berdasarkan perbincangan di media sosial. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Merujuk kepada persoalan-persoalan tuan tersebut,

1. Bermain permainan video tersebut tidak menjadi kafir tetapi hukumnya adalah haram dan perlu ditinggalkan kerana unsur syirik yang ada di dalamnya. Al-Nawawi menyebutkan tentang perihal keadaan yang membuatkan seseorang menjadi kafir dalam Raudhah al-Tolibin:

والأفعال الموجبة للكفر هي التي تصدر عن تعمد واستهزاء بالدين صريح، كالسجود للصنم أو للشمس

Maksudnya: Perbuatan-perbuatan yang menyebabkan kufur ialah perbuatan yang dilakukan dengan sengaja serta mengandungi penghinaan yang jelas terhadap agama seperti sujud kepada berhala atau matahari.

Sujud di dunia sebenar kepada berhala bukan semata-mata dilihat daripada bentuk fizikalnya semata-mata. al-Nawawi menyebut secara khusus bahawa perbuatan yang membawa kufur ialah perbuatan yang dilakukan dengan sengaja dan mengandungi penghinaan yang jelas terhadap agama.

2. Sekiranya seseorang tidak mempunyai iktikad bahawa dewa tersebut ialah Tuhan dan tidak berniat menyembahnya, perbuatan tersebut tidak menjadikannya murtad dan membatalkan imannya. Walaubagaimanapun, bermain permainan video seperti ini seolah-olah dia reda dengan upacara dan kepercayaan dalam permainan video tersebut yang termasuk kemungkaran kepada Allah SWT, sedangkan adalah menjadi kewajipan ke atas dirinya untuk mengingkarinya. Nabi SAW bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya sendiri, sekiranya tidak mampu maka dengan lisannya, sekiranya tidak mampu juga dengan hatinya, itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

3. Ya, terdapat perbezaan hukum antara melakukan ritual tersebut secara nyata di dunia nyata dan dunia maya. Upacara di dunia nyata adalah perbuatan yang dilakukan dengan sengaja dan mengandungi penghinaan yang jelas terhadap agama sebagaimana telah disebutkan pada no. 1. Adapun di dunia maya, hakikat perbuatan pemain sebenarnya ialah mengawal watak dalam lingkungan permainan bagi menyelesaikan sesebuah misi

Secara kesimpulannya, permainan video yang mempunyai unsur syirik kepada Allah Ta’ala adalah haram untuk dimainkan oleh seorang muslim. Sekiranya dia tidak jatuh kepada lembah syirik sekalipun wal ‘iyyazu billah, perbuatan tersebut adalah haram kerana seorang muslim wajib mengingkari kesyirikan walaupun di dalam permainan video.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 36

message user image