Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Permohonan Pencerahan Berkenaan Hukum Penggunaan Dana Tabung Kelab Badminton
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera Tuan/Puan,
Saya ingin mendapatkan pencerahan berkenaan hukum penggunaan dana tabung kelab badminton bagi tujuan pemberian hadiah.
Untuk penjelasan, persoalan yang saya ajukan ini TIDAK melibatkan wang yuran penyertaan peserta untuk dijadikan hadiah, sebaliknya melibatkan dana hasil kutipan kelab, seperti bayaran sesi permainan sosial, keuntungan daripada jualan baju kelab dan sumber-sumber lain yang menjadi hasil tabung kelab.
Sebagai latar belakang, saya merupakan ketua sebuah kelab badminton yang mempunyai satu akaun khas bagi menguruskan hasil kutipan kelab. Sebagai contoh, setiap pemain dikenakan bayaran berdasarkan jumlah shuttlecock baharu yang digunakan semasa sesi permainan, iaitu sebanyak RM3 sebiji. Sekiranya seorang pemain menggunakan empat biji shuttlecock baharu, beliau akan dikenakan bayaran sebanyak RM12. Walau bagaimanapun, kos sebenar bagi setiap shuttlecock hanyalah sekitar RM2 sebiji, manakala baki lebihan tersebut dimasukkan ke dalam tabung kelab sebagai hasil kutipan.
Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan pandangan berhubung beberapa persoalan berikut:
Saya telah cuba mencari penjelasan mengenai perkara ini melalui laman sesawang dan sumber-sumber dalam talian. Namun, kebanyakan penjelasan yang ditemui lebih tertumpu kepada penggunaan yuran penyertaan peserta sebagai hadiah, sedangkan situasi yang saya hadapi melibatkan penggunaan dana tabung kelab yang diperoleh daripada hasil kutipan dan aktiviti kelab.
Justeru, saya amat menghargai sekiranya pihak Tuan/Puan dapat memberikan pencerahan mengenai hukum bagi situasi yang saya nyatakan di atas.
Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak Tuan/Puan didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh 'Amru bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya: Kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram. (Riwayat al-Tarmizi)
Kedua-dua soalan yang dinyatakan adalah harus dan dibolehkan menggunakan dana-dana terkumpul kelab tuan tersebut dan yuran kutipan untuk bayaran-bayaran selain hadiah. Sebagai tambah baik, tuan selaku ketua memaklumkan terlebih dahulu perlembagaan atau peraturan-peraturan berkaitan perkara ini kepada ahli-ahli secara dokumen yang bertulis. Aliran keluar duit yang diterima disalurkan kepada aktiviti-aktiviti seperti yang dinyatakan di atas. Kecaknaan tuan berkaitan yuran tidak boleh digunakan untuk bayaran hadiah adalah wajar kerana ia adalah haram disebabkan ada unsur perjudian dan pertaruhan. Tuan juga boleh merujuk Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2013.
Sekian, terima kasih