Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya mempunyai satu soalan mengenai hukum memiliki barangan yang berbentuk atau mempunyai imej haiwan di dalam rumah.
Apakah hukum memiliki jam burung (cuckoo clock) yang mempunyai bentuk atau figura burung? Bagaimana pula dengan aksesori seperti penyangkut beg tangan (handbag hook) atau rantai kunci (keychain) yang berbentuk atau bertemakan haiwan?
Selain itu, apakah hukum menggunakan peralatan harian seperti gelas atau cawan yang mempunyai gambar haiwan padanya?
Terima kasih atas pencerahan.
Jawapan
Sesuatu objek yang dikira patung atau berbentuk patung adalah dilarang untuk dijadikan sebagai hiasan. Hal ini kerana perbuatan menjadikan patung sebagai perhiasan menunjukkan unsur-unsur penghormatan sehingga ia boleh menjadi seperti patung berhala. Akan tetapi, jika patung tersebut mempunyai kegunaan tertentu seperti patung mannequin, maka harus menggunakan patung tersebut kerana tiada lagi unsur penghormatan. Patung tersebut telah menjadi satu alat untuk kegunaan tertentu.
Bagi jam burung, walaupun ia berbentuk seperti patung, ia harus untuk digunakan kerana ia adalah alat iaitu jam. Sudah semestinya ia digunakan untuk tujuan kegunaan dan tiada unsur penghormatan. Sekiranya wujud unsur penghormatan maka ia menjadi haram.
Manakala patung yang dijadikan aksesori seperti keychain adalah perlu diteliti. Sekiranya aksesesori sebegini tiada unsur-unsur penghormatan, tidak diagungkan, boleh diletakkan di merata tempat dan kanak-kanak boleh bermain dengannya, maka harus menggunakannya. Namun, jika ada unsur penghormatan maka ia diharamkan.
Berkenaan dengan peralatan harian, jika ia berupa gambar pada pinggan atau cawan maka ia diharuskan. Untuk mengetahui lebih lanjut hukum berkenaan dengan gambar sila layari https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/26/34-taudih-al-hukmi-hukum-menggantung-gambar-konvokesyen-keluarga/.
Sekiranya pinggan atau cawan tersebut berbentuk seperti haiwan atau sesuatu yang hidup, maka hukumnya diharuskan sekiranya pinggan atau cawan itu digunakan sebagai kegunaannya serta tiada unsur penghormatan. Sekiranya ia dijadikan perhiasan semata, maka ia terdapat unsur penghormatan. Dalam keadaan ini adalah diharamkan berbuat demikian.
Sekian, terima kasih.