Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya memesan x5 roti canai melalui aplikasi Grab dari kedai mamak berdekatan dan saya memberi arahan kepada "runner" untuk meletakkan makanan di depan rumah saya. Setelah makanan saya diletakkan oleh "runner" tersebut, dan dia beredar. Saya dapati makanan yang dihantar adalah salah dan ianya mungkin makanan pelanggan lain. Saya terus mesej "runner" tersebut dan dia kata itu salah kedai dan dia hanya menghantar sahaja. Saya "contact" Grab, dan memberitahu masalah saya dan Grab kata saya boleh makan makanan tersebut dan Grab memberi "refund" kepada saya.
Persoalan saya, adakah haram jika saya memakan makanan tersebut kerana makanan yang salah itu mungkin harganya lebih mahal daripada makanan saya?
ataupun sekiranya saya tidak makan, adakah perlu saya memulangkan makanan tersebut ataupun membayar balik ke kedai berdekatan tersebut keesokan harinya?
Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, isu ini berkaitan dengan hak milik makanan yang tersalah dihantar serta hukum memakannya. Secara umumnya, Islam melarang seseorang mengambil atau memanfaatkan harta milik orang lain tanpa keizinan pemiliknya.
Dalam situasi ini, makanan yang tersalah dihantar pada asalnya merupakan hak milik pelanggan lain. Namun demikian, setelah pihak Grab dimaklumkan mengenai kesilapan tersebut, pihak Grab telah memberikan refund dan memaklumkan bahawa makanan berkenaan boleh dimakan. Keizinan tersebut menunjukkan bahawa pihak yang menguruskan transaksi telah melepaskan tuntutan terhadap makanan tersebut.
Oleh itu, makanan yang tersalah dihantar tersebut adalah halal dimakan dan tidak perlu dipulangkan atau dibayar semula. Hal ini kerana ia telah mendapat keizinan daripada pihak Grab dan kedudukannya tidak lagi dianggap sebagai mengambil atau memanfaatkan hak milik orang lain tanpa izin. Sebaliknya, ia dianggap sebagai pemberian yang diizinkan.
Sekian, terima kasih.