BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum SS Mufti dan ahli panel.

Soalan saya: pelajar sekolah tahfiz dilarang membawa atau menyeludup serta dilarang makan mee segera (seperti maggi) di asrama. Peraturan berkenaannya telah ditetapkan oleh pihak sekolah dan telah dimaklumkan seawal hari pertama pendaftaran dalam sesi taklimat khas. Jika didapati murid membawanya, dikira melakukan kesalahan dan dirampas, lupus dan tak dipulangkan. ibubapa juga maklum akan hal ini.

Sekiranya pihak warden melakukan spot check lalu menemui bungkusan makanan larangan tersebut, apakah status bagi makanan rampasan tersebut. Apa hukum warden pula makan sendiri/sedekah kepada orang lain kerana ianya dikira lupus. apa kata islam dalam hal ini? terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara umum perkara ini menyentuh tentang hak milik pelajar, peraturan sekolah dan hukum rampasan barang larangan. Pada asasnya, harta seseorang tidak boleh diambil tanpa hak. Namun, pihak sekolah berhak menetapkan larangan tertentu demi menjaga disiplin dan ketenteraman sekolah. Sekiranya peraturan tersebut telah dimaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa, maka pelajar wajib mematuhinya. Tindakan merampas barang yang dilarang boleh dilakukan sebagai salah satu bentuk tindakan disiplin. Walau bagaimanapun, status dan pengurusan barang yang dirampas hendaklah dilihat berdasarkan jenis dan sifat barang tersebut.

Pertama: Barang yang tidak bernilai atau mudah rosak

Sebagai contoh makanan ringan, mee segera dan seumpamanya. Bagi barang seperti ini, sekiranya peraturan sekolah telah menetapkan bahawa barang tersebut akan dirampas apabila dibawa ke sekolah, maka tindakan rampasan boleh dilakukan sebagai tindakan disiplin. Memandangkan barang tersebut mudah rosak atau tidak mempunyai nilai yang tinggi serta berisiko menjadi basi dan akhirnya membazir sekiranya disimpan, pihak sekolah boleh mengurus atau melupuskan barang tersebut mengikut kesesuaian dan peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

Kedua: Barang yang bernilai atau mempunyai nilai pemilikan yang tinggi

Sekiranya barang yang dilarang tersebut mempunyai nilai yang tinggi seperti telefon, komputer riba, wang atau harta berharga yang lain, hak milik pelajar tidak gugur semata-mata kerana pelajar telah melanggar peraturan sekolah. Pihak sekolah hanya berhak menahan barang tersebut untuk tempoh tertentu sebagai tindakan disiplin, tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh itu, warden atau pihak sekolah tidak boleh menggunakan, mengambil manfaat, menjual, memberikan atau menghadiahkan barang tersebut kepada pihak lain kerana perbuatan demikian melibatkan pengambilan dan penggunaan harta milik orang lain tanpa hak. Perbuatan tersebut termasuk dalam ghasab yang diharamkan oleh syarak. Barang tersebut hendaklah dipulangkan kepada pelajar atau ibu bapanya setelah tempoh tindakan disiplin selesai atau mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

Kesimpulannya, barang rampasan hendaklah dibezakan berdasarkan sifat dan nilainya. Bagi barang yang tidak bernilai tinggi atau mudah rosak seperti makanan ringan dan mee segera, pihak sekolah boleh mengurus atau melupuskannya mengikut kesesuaian serta peraturan dan prosedur yang ditetapkan. Manakala barang yang bernilai seperti telefon dan harta berharga yang lain, hak miliknya tetap berada pada pelajar. Pihak sekolah hanya boleh menahannya sebagai tindakan disiplin untuk tempoh yang munasabah dan barang tersebut hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya atau ibu bapanya mengikut prosedur yang ditetapkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 19

message user image