BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

 

Semoga rahmat Allah meliputi Ustaz dan keluarga. Saya mempunyai skill melukis hasil didikan dan hobi sewaktu kecil. Adakah di bolehkan untuk saya melukis gambar potrait manusia/kucing sebagai pendapatan tambahan saya di sisi Islam?

Barakallahufikum.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, terdapat hadis yang memberi amaran kepada pelukis gambar, antaranya ialah sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abdullah bin Mas'ud RA:

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمُصَوِّرُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang paling berat azabnya pada hari kiamat ialah para pembuat gambar. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini difahami oleh para ulama dalam konteks larangan menghasilkan gambar yang bertujuan menandingi ciptaan Allah, dijadikan sembahan, atau membawa kepada unsur pengagungan selain Allah SWT yang dilarang. Namun, melukis potret manusia atau haiwan seperti kucing sebagai sumber pendapatan adalah diharuskan dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya, lukisan tersebut tidak mengandungi unsur lucah atau mendedahkan aurat, tidak dijadikan sebagai bahan pemujaan atau kepercayaan khurafat, tidak menghina agama atau mana-mana pihak, serta tidak digunakan untuk tujuan yang diharamkan.

Selain itu, elakkan daripada membuat lukisan yang terlalu melampau dari sudut pengagungan terhadap individu sehingga membawa kepada unsur pemujaan.

Sehubungan itu, manfaatkanlah kemahiran melukis tersebut pada perkara yang baik seperti melukis potret keluarga, ilustrasi pendidikan, reka bentuk grafik, buku kanak-kanak, bahan dakwah, atau karya seni yang memberi manfaat kepada masyarakat. Rezeki yang diperoleh daripada hasil kerja yang harus dan dilakukan dengan jujur adalah termasuk rezeki yang baik dan diberkati, insya-Allah. Kesimpulannya, hukum melukis potret manusia atau kucing untuk dijadikan sumber pendapatan adalah harus, selagi memenuhi garis panduan syarak dan tidak membawa kepada perkara yang diharamkan. 

 

 والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 19

message user image