Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Saya ada soalan berkaitan Qazaf
Di dalam enekmen negeri selangor, apakah maksud qazaf? Adakah seseorang lelaki menuduh seorang perempuan yang telah berkahwin yang mana pernikahannya telah disahkan oleh hakim mahkamah syariah dengan mengatakan pernikahan itu tidak sah dan perempuan itu melahirkan anak anak haram dan perempuan itu juga telah mempunyai cucu dan cucu cucu itu dikatanya cucu cucu haram. Dengan jelas juga lelaki itu menuduh pernikahannya tidak sah dan mengatakan anak kepada perempuan itu perlu berkawin semula. Berulang kali disebut anak anak haram dan cucu haram dan pernikahan tidak sah.
sudah dijelaskan kepada orang itu mengenai perkahwinan yang telah disahkan oleh mahkamah syariah tetapi tetap menuduh anak haram cucu haram dan perkahwinan tidak sah.
adakah lelaki itu telah melaku kan qazaf? Untuk pengetahuan surat nikah telah dikeluarkan oleh jabatan agama islam negeri selangor dan perkahwinan berlangsung di luar negara serta sudah maklumkan pernikahan di sahkan oleh hakim mahkamah syariah. Perempuan itu telah dinafikan nasabnya.
Jawapan
Menurut syarak, qazaf adalah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan nasabnya tanpa mendatangkan 4 orang saksi. Dalam Islam qazaf adalah tergolongan dalam kategori kesalahan jenayah yang dikenakan hudud sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 4:
Maksudnya:
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.
Berdasarkan situasi yang dinyatakan, dibimbangi lelaki tersebut boleh dianggap melakukan qazaf meskipun perkahwinan itu telah mendapat pengesahan daripada Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam. Walau bagaimanapun, penentuan sama ada seorang itu telah melakukan qazaf atau tidak hendaklah dilakukan oleh pihak Mahkamah Syariah sebagai pihak yang mempunyai bidang kuasa. Aduan serta pembuktian perlu diberikan oleh orang yang mengadu kepada pihak Mahkamah untuk dibicarakan.
Sekian, terima kasih.