Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Apa hukum kalau saya guna kupon makanan yang saya jumpa dekat jalan tanpa tahu siapa punya?
Jawapan
Hukum menggunakan kupon yang dijumpai tanpa diketahui pemiliknya adalah tidak dibenarkan pada asalnya kerana ia merupakan hak milik orang lain. Orang yang menjumpainya hendaklah berusaha mencari pemiliknya melalui kaedah hebahan yang munasabah dan menyerahkannya kepada pihak berautoriti sekiranya perlu. Menurut sebahagian ulamak tempoh hebahan adalah selama satu tahun.
Sepanjang tempoh pengiklanan tersebut, orang yang menjumpainya perlu menjaganya sebagai amanah sehingga tamat tempoh setahun. Jika pemiliknya tidak ditemui selepas tempoh itu, maka dibenarkan untuk menggunakannya. Jika telah menggunakannya lalu pemilik asal muncul dan menuntutnya, maka wajib ganti rugi berdasarkan nilai kupon tersebut.
Sekian, terima kasih.