Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan tentang satu premis ni yang asalnya non Muslim sewa utk restoran makanan non halal kemudian kedai tu tutup Dan syarikat seven eleven ambil alih utk cafetaria setelah renovation kedai tersebut..persoalannya boleh ke yang Muslim gi membeli/minum dalam tempat tu, sebab rasa waswas tentang asal kedai tu yang menyediakan Arak, makanan tak halal...terima kasih
Jawapan
Dalam Islam, status sesuatu premis atau produk adalah dinilai berdasarkan keadaannya yang terkini, bukannya sejarah atau kegunaan silamnya. Begitu juga prinsip asas dalam Islam menyatakan bahawa bagi sesuatu perkara itu adalah harus (halal) melainkan terdapat dalil yang mengharamkannya. Namun, apabila terdapat keraguan antara halal dan haram, maka utamakanlah kepada hukum. Perasaan was-was yang timbul natijah aktiviti terdahulu tidak menjejaskan hukum selagimana tiada bukti yang jelas kewujudan najis pada ketika ini.
Menjadi amalan mana-mana syarikat/ pemilik premis makanan apabila syarikat baharu mengambil alih akan melakukan pengubahsuaian (renovation) menukar struktur kedai, perkakas dan permukaan dinding atau lantai yang lama. Pemilik baru akan mencuci atau menutupi dengan peralatan dan kelengkapan yang baharu. Proses ini secara langsung menghilangkan kesan-kesan fizikal (sifat najis seperti bau, warna, dan rasa) daripada perniagaan lama.
Hadis yang diriwayatkan daripada Al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas) dan yang haram itu pun nyata (jelas) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (kesamaran), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang syubhah, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara syubhah jatuhlah ia ke dalam yang haram. (Riwayat Muslim)
Secara umumnya, jika premis tersebut telah diubah suai dan dibersihkan sepenuhnya daripada najis-najis terdahulu maka makanan serta minuman yang disediakan adalah halal dan boleh membeli atau minum di tempat tersebut. Walau bagaimanapun, jika masih terdapat keraguan yang kuat dan berasas tentang kebersihan mahupun status halal, maka adalah lebih baik untuk kita lebih berhati-hati dan mencari alternatif lain. Prinsip "apabila halal dan haram bertemu, maka haram itu lebih diutamakan" menjadi panduan dalam situasi ini.
Sekian, terima kasih.