BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan situasi di tempat kerja saya. Rakan sekerja saya (bukan beragama Islam) telah membuat “blessing” menggunakan air suci (holy water) serta membuat lambang salib di atas meja kerja saya, tanpa kebenaran saya.

 

Soalan saya:

1. Dari sudut hukum syarak, apakah pandangan Islam terhadap tindakan sedemikian dilakukan ke atas ruang/meja kerja seorang Muslim?

2. Adakah terdapat sebarang kesan dari sudut akidah atau perlu saya lakukan sesuatu (contohnya bersihkan/sertu meja) selepas kejadian ini?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Tindakan rakan sekerja anda yang bukan beragama Islam menggunakan "holy water" dan membuat lambang salib di meja kerja tuan tanpa kebenaran adalah suatu perkara yang perlu ditangani dengan bijak dari sudut pandangan Islam.

Islam mengajar umatnya untuk menghormati agama lain dan tidak memaksa kepercayaan kepada orang lain. Namun, tindakan meletakkan simbol keagamaan lain atau menggunakan "holy water" tanpa izin di ruang kerja seorang muslim boleh dianggap sebagai pencerobohan terhadap ruang peribadi dan keagamaan. Walaupun tindakan tersebut dilakukan oleh rakan sekerja yang tidak berniat jahat, tetapi ia tetap tidak sesuai kerana ia melibatkan simbol dan amalan keagamaan yang bertentangan dengan akidah Islam. Islam melarang umatnya daripada terlibat secara langsung dalam ritual agama lain atau membenarkan ruang mereka dicemari dengan amalan yang bertentangan dengan syarak.

Rumusan yang boleh kita simpulkan adalah:

  1. Dari hukum syarak apa yang dilakukan oleh rakan sekerja tuan adalah aktiviti keagamaan bagi agama Kristian, maka perbuatan itu tidak boleh disertai sama sekali oleh seseorang Muslim. Perbuatannya yang melakukan di tempat tuan itu sebaiknya mendapat kebenaran tuan, walaupun ianya adalah tempat bekerja serta milik majikan apatah lagi ianya adalah aktiviti keagamaan.
  2. Tidak ada apa-apa kesan bahkan tidak menjejaskan akidah tuan disebabkan ia dilakukan tanpa kebenaran tuan dan ini menggambarkan tuan tidak menyertai aktiviti ini. Dari sudut kenajisan pula, air tersebut tidak meninggalkan bau, rasa dan warna yang jelas kenajisannya, maka tidak perlu melakukan apa-apa tindakan pembersihan. Begitu juga wajar untuk tuan memperbanyakkan bacaan zikir dan doa pelindung diri sebagai amalan harian.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 12

message user image