Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya. Saya ada rujuk tentang perkara yang batalkan syahadah dari satu website ini: https://madahannan.wordpress.com/2011/11/15/20-perkara-yang-membatalkan-syahadah/
Saya tidak paham beberapa perkara. Bolehkah tuan/puan jelaskan dengan terperinci kesemuanya? Begitu juga nombor
16. Tidak mengetahui mengenai makrifatullah dengan pengenalan yang jelas serta ingkar sifat-sifat ketuhanan atau ingkar nama-namanya
17. Tidak mengetahui dan mengenal Rasulallah S.A.W dengan betul atau menafikan sifat-sifat yang diberikan Allah kepada baginda
sekadar mana yang membuatkan syahadah batal jika tidak mengenal Allah dan nabi?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan/puan tersebut, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 43:
Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kalian kepada orang yang memiliki ilmu pengetahuan jika kalian tidak mengetahui.
Ayat di atas menerangkan tentang perintah bertanya kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan sekiranya tidak mengetahui berkenaan sesuatu perkara. Tindakan tuan/puan yang merujuk terus kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor adalah sebuah langkah yang amat terpuji dan tepat.
Hal ini adalah kerana laman web seperti yang dikongsikan ini kebiasaannya tidak boleh dipertanggungjawabkan dari sudut keilmuan dan kredibilitinya terutama melibatkan ilmu agama. Muhammad bin Sirin sebagaimana dinukilkan oleh Imam Muslim dalam muqaddimah Sahihnya:
Maksudnya: Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu.
Seterusnya, penjelasan bagi pernyataan nombor 16 dan 17 adalah seperti berikut:
Nombor 16: Yang membatalkan iman bukan semata-mata kerana seseorang tidak mengetahui ilmu makrifatullah secara terperinci tetapi apabila seseorang menolak atau mengingkari perkara asas yang wajib diimani tentang Allah SWT seperti kewujudan-Nya, keesaan-Nya atau sifat kesempurnaan yang wajib bagi-Nya.
Nombor 17: Yang membatalkan iman bukan semata-mata kerana seseorang tidak mengetahui sirah atau sifat Nabi secara terperinci tetapi apabila seseorang menolak asas kerasulan Nabi Muhammad SAW seperti tidak mempercayai baginda sebagai Rasulullah atau mendustakan apa yang baginda sampaikan sebagai wahyu dan agama.
Kesimpulannya, tidak tahu adalah berbeza dengan ingkar. Perbezaan antara kedua-duanya juga sangat penting dalam permasalahan akidah dan tidak boleh diletakkan dalam kategori yang sama. Walau bagaimanapun, tuan/puan adalah dianjurkan untuk terus belajar dan menambah ilmu berkenaan kedua-dua perkara di atas.
Sekian, terima kasih.