Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya soalan berkenaan patung plushie. Saya ada beberapa patung plushie (full body) berbentuk haiwan bersaiz sebesar bantal yang saya gunakan sebagai bantal peluk. Plushie saya kebanyakannya berbentuk haiwan akuatik seperti jerung dan buaya. Adakah hukum menyimpan plushie seperti ini haram? Adakah saya perlu membuang plushie tersebut? Terima kasih.
Jawapan
Berkenaan dengan hukum menyimpan atau memiliki apa-apa barang berupa patung, ia menjadi haram apabila terdapat unsur-unsur penghormatan atau pemujaan apabila memiliki patung tersebut. Sekiranya patung tersebut digunakan sebagai suatu alat kegunaan seperti patung mannequin, showroom dan sebagainya maka ia diharuskan kerana ia tiada unsur penghormatan.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, patung plushie memang digunakan sebagai bantal peluk dan dibuat sebagai permainan yang tidak menunjukkan sebarang bentuk penghormatan maka harus memiliki plushie tersebut. Jika plushie tersebut hanya diletakkan sebagai perhiasan semata, maka diharamkan berbuat demikian kerana terdapat unsur-unsur penghormatan.
Sekian, terima kasih.