Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum.
Tuan Sahibus Samahah Mufti yang saya amat hormati.
Saya ingin bertanyakan satu soalan. Semasa suatu majlis rasmi perhimpunan pejabat, pembaca doa telah memakai pakaian maskot pejabat (pakaian berbentuk seperti kartun) dan membaca doa di atas pentas. Tema perhimpunan tersebut adalah tema sukan. Semasa pembaca doa tersebut baru menaiki dan berjalan di atas pentas, para hadirin telah pun kedengaran riuh rendah dan bergelak ketawa, namun kembali senyap semasa doa dibaca. Soalan saya, apakah hukum berpakaian maskot dan membaca doa dalam majlis rasmi tersebut? Bolehkah sekiranya Tuan SS Mufti ulas juga berkenaan adab dan kesopanan berdoa dalam keadaan sedemikian? Segala kerjasama pihak Tuan SS Mufti berikan amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih. Jazakumullahu khoiyr. Allah yubarik fik.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, membaca doa dengan mengenakan pakaian maskot adalah diharuskan selagimana pakaian tersebut menutup aurat dan tidak terdapat padanya sesuatu yang bercanggah dengan syarak.
Namun begitu, pembaca doa sebaik-baiknya mengenakan pakaian yang sesuai dengan kemuliaan doa dan suasana majlis seperti baju Melayu atau pakaian sopan yang seumpamanya sebagaimana kebiasaan masyarakat di negara ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemakaian maskot ditetapkan berdasarkan tema majlis, maka perkara tersebut tidak menjadi masalah. Pakaian maskot juga tidak semestinya bertujuan mempersendakan doa atau mencetuskan gelak ketawa. Sebaliknya, para hadirin bertanggungjawab menjaga adab masing-masing dan menghormati doa yang dibacakan.
Sekian, terima kasih.