Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum. Jika seorang ketua keluarga kristian ingin memeluk Islam adakah hubungannya dengan isteri terputus jika isteri tidak mahu memeluk Islam? Dan jika isteri turut ingin memeluk Islam adakah mereka perlu berkahwin dengan cara Islam untuk menghalalkan hubungan suami isteri mereka? Dan bagaimana dengan anak mereka? Sekian saja soalan saya. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, jika seorang lelaki memeluk Islam sedangkan isterinya tidak memeluk Islam, maka hubungan mereka sebagai suami isteri adalah terbatal. Namun, jika suami isteri bersama-sama memeluk Islam, maka perkahwinan mereka sebelum Islam adalah sah pada pandangan syariat Islam. Adapun, yang dianggap sah adalah pernikahan yang dibolehkan oleh syariah Islam diantara suami dan isteri tersebut. Contohnya, suami dan dan isteri itu tidak mempunyai hubungan mahram diantara mereka atau mereka bukan saudara susuan, kerana ia menyebabkan pernikahannya terbatal dan wajib dipisahkan oleh syarak. Berkenaan anak mereka, berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 memutuskan bahawa: 1. Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam. 2. Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam. 3. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.