Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Bagi pertanyaan saya ianya melibatkan tentang pekerjaan. Saya diminta menolong tapi tidak dipaksa untuk melipat kertas kertas untuk upacara sembahayang hantu cina. Apakah hukum saya membantu untuk persiapan upacara itu dengan melipat keras sembahyang itu dengan tiada niat untuk ikut sekali cuma membantu meilpat saja.
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, orang Islam dilarang sama sekali untuk terlibat dalam apa-apa bentuk upacara sembahyang agama lain. Hal ini kerana perbuatan ini dikira membantu perkara maksiat. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 2 :
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Tidak diharuskan bagi seorang Muslim membantu untuk persiapan upacara itu dengan melipat kertas sembahyang itu walaupun tiada niat untuk mengikuti sekali cuma membantu melipat sahaja. Sebaiknya serahkan kerja-kerja tersebut kepada kakitangan yang bukan Islam.
Sekian, terima kasih.