Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam...mohon pencerahan panel...saya mengetahui jika seorang lelaki dan wanita bukan mahram berdua duaan dlm kenderaan,hukumnya adalah haram...tapi saya ingin bertanya mengenai satu kemuskiylan..apakah hukum jika isteri saya,menaiki satu kenderaan yang sama ke tempat kerja,bersama dengan 1 orang lagi lelaki bukan mahram dan 1 orang perempuan yang satu tempat kerja dengannya,bertiga didalam satu kenderaan yg sama, isteri saya berada dihadapan dan sebelah pemandu(lelaki), dab lelaki itu adalah bekas anak murid dia, dia pun hanya menganggap anak muridnya walaupun sudah bekerja satu tempat, mohon pencerahan panel..terima kasih
Jawapan
Terima kasih atas soalan yang diberikan. Pergaulan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, walaupun atas urusan pekerjaan, tetap tertakluk kepada batas-batas syarak. Dalam keadaan seorang lelaki bersama dua orang wanita dalam satu kenderaan, ia tidak dikategorikan sebagai khalwat kerana tidak berlaku keadaan berdua-duaan.
Sebaliknya khalwat itu sebagaimana dalam undang-undang seperti mana dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 (Enakmen No. 9 Tahun 1995), Seksyen 29 – Khalwat
"Lelaki bersama seorang atau lebih perempuan yang bukan isteri atau mahramnya, atau perempuan bersama seorang atau lebih lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di tempat yang terselindung atau dalam rumah/ bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka melakukan perbuatan tidak bermoral."
Namun demikian, pergaulan tersebut hendaklah sentiasa menjaga batas syarak dan sebaik-baiknya dielakkan daripada keadaan yang boleh menimbulkan fitnah, khususnya apabila terdapat pilihan lain yang lebih selamat dan lebih menjaga kehormatan.
Sehubungan itu, disyorkan agar wanita tidak duduk bersebelahan dengan lelaki bukan mahram dalam kenderaan sekiranya terdapat tempat duduk lain yang kosong dan sesuai, sebagai langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi menutup ruang fitnah.
Hal ini bertepatan dengan kaedah Fiqh Saad al-Zara'i, iaitu menutup jalan-jalan atau ruang-ruang yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang oleh hukum syarak.
sekian.