Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam. kami menpunyai 7 keluarga. setiap bulan kami akan mengumpul duit untuk sambutan hari jadi, beli hadiah hari jadi, makan-makan. setiap hujung tahun kami akan buat family day. kami akan guna duit tersebut untuk penginapan, makan, peralatan. ada slot sukaneka untuk semua ahli keluarga. adakah duit yang kami kumpul itu setiap bulan boleh digunakan sebagai hadiah sukaneka? adakah termasuk dalam perjudian? jika kami semua setuju guna duit itu untuk beli hadiah adakah masih ada unsur judi. terima kasih.
Jawapan
Dalam situasi di mana beberapa keluarga bersetuju mengumpulkan sejumlah wang secara bulanan sebagai tabung bersama bagi tujuan sambutan hari jadi, pemberian hadiah, jamuan, aktiviti kekeluargaan serta penganjuran family day, wang tersebut pada asasnya merupakan tabung bersama yang penggunaannya tertakluk kepada persetujuan ahli keluarga. Oleh itu, sebahagian daripada wang tabung tersebut boleh digunakan untuk menyediakan hadiah bagi aktiviti sukaneka yang dianjurkan sempena family day, dan penggunaan tersebut tidak dihukum sebagai perjudian semata-mata kerana hadiah diberikan kepada peserta yang memenangi pertandingan.
Penentuan sama ada sesuatu aktiviti mengandungi unsur perjudian hendaklah dilihat berdasarkan hakikat dan mekanisme pengumpulan serta penggunaan wang tersebut, selaras dengan kaedah fiqh
(setiap perkara dinilai berdasarkan tujuannya)
dan
(yang diambil kira ialah maksud dan hakikat sesuatu urusan, bukan semata-mata nama atau bentuk zahirnya).
Unsur perjudian atau maisir berlaku apabila terdapat pertaruhan yang menyebabkan peserta berisiko kehilangan wang atau harta dengan harapan memperoleh keuntungan berdasarkan keputusan sesuatu permainan atau pertandingan.
Dalam konteks ini, sekiranya wang tersebut telah dikumpulkan sebagai tabung keluarga dan tidak dikhususkan sebagai wang pertaruhan atau yuran penyertaan pertandingan, kemudian sebahagiannya digunakan untuk membeli hadiah sukaneka, maka keadaan tersebut tidak mempunyai ciri pertaruhan yang menjadi asas kepada perjudian. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat ahli keluarga atau peserta yang menyertai sukaneka tetapi tidak membuat bayaran khusus untuk menyertai pertandingan tersebut. Namun begitu, keadaan ini bukanlah faktor utama yang menentukan hukum; yang lebih penting ialah tidak wujudnya pertaruhan antara peserta, iaitu wang peserta yang kalah tidak dipindahkan atau dipertaruhkan untuk menjadi keuntungan kepada peserta yang menang.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan sebarang keraguan dan memastikan pengurusan tabung keluarga berada dalam keadaan yang lebih selamat daripada sudut hukum syarak, adalah dicadangkan supaya hadiah sukaneka dibiayai daripada tabung bersama yang telah dipersetujui penggunaannya untuk aktiviti keluarga, dan bukannya melalui kutipan atau bayaran khusus daripada peserta yang kemudiannya dijadikan hadiah kepada pemenang. Dengan kaedah ini, aktiviti sukaneka dapat dilaksanakan sebagai salah satu bentuk hiburan dan pengukuhan hubungan kekeluargaan tanpa melibatkan unsur pertaruhan atau perjudian.
sekian.